Sahabat Purnama

Selasa, 8 Disember 2009

Pencuri telefon bimbit dicekup ketika bercuti

GUA MUSANG - Pencuri telefon di sebuah kedai telefon di sini Khamis lalu berjaya ditangkap polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di Tanah Rata, Cameron Higlands, petang kelmarin.

Ketika ditangkap, suspek, Mohd Arifin Mohd Noor, 58, berada di sebuah hotel di Tanah Rata bersama isterinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Aziz Hasan berkata, setelah mendapat maklumat daripada orang awam yang mengatakan suspek berada di Tanah Rata, polis dengan diketuai Inspektor Ishak Jumain bergegas ke lokasi.

Menurutnya, ketika polis mengetuk pintu bilik hotel yang didiaminya, suspek tidak melawan malah memberikan kerjasama dengan pihak polis.

“Suspek kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis untuk direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah Seksyen Gua Musang, esok (hari ini).

“Dua daripada telefon bimbit jenama Sony Ericsson yang dicuri suspek, berjaya ditemui semula bersama suspek sementara sebuah lagi telefon telah pun dijual suspek kepada individu yang tidak dikenali,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Aziz berkata, suspek bekas guru yang pernah mengajar subjek bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat sekitar tahun 80-an dikatakan turut mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 380 kanun keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda.

Sementara itu, kes ini menyebabkan mangsa, Mohd Jailani Mat Jusoh, 35, kerugian kira-kira RM3,030 apabila telefon bimbit yang dijual di kedainya dicuri suspek.

Suspek dikatakan turut menjadikan sebuah lagi kedai suspek sebagai sasarannya sebelum ini berdasarkan kepada imej yang terdapat di kamera litar tertutup (CCTV) kedai mangsa._sinarharian

Tiada ulasan: