Sahabat Purnama

Isnin, 11 Januari 2010

3,000 pelabur projek cacing tertipu RM25j

KULIM - Tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan oleh penganjur skim pelaburan penternakan cacing di sini, kira-kira 3,000 pelabur kerugian lebih RM25 juta apabila penganjur melarikan lari.

Malah pejabat penganjur skim itu di sini, disita pemilik bangunan awal Disember lalu kerana tidakmelunaskan sewa hampir RM10,000.

Selepas berasa tertipu, lebih 200 mangsa skim tersebut membuat laporan polis di balai polis di sini, sejak awal bulan ini.

Pada sidang media oleh mangsa skim tersebut di sini, semalam, pelabur dari Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mendakwa melabur antara RM5,000 dan RM3 juta sejak Jun 2008.

Menurut risalah, syarikat itu menjalankan penternakan cacing dan penghasilan baja vermikompos organik dengan usaha sama sebuah konsortium.

Syarikat berkenaan membuka tujuh cawangan iaitu di Sungai Petani, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Butterworth dan Tunjang di Kubang Pasu dengan Kulim sebagai cawangan utama bagi memudahkan orang ramai melabur dalam skim yang disediakan.

Ketua Polis daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh yang dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pelabur skim terbabit dan berkata polis sedang menyiasat kes itu.

Sementara itu, dua pesara mendakwa melabur RM150,000 hasil simpanan dan gratuiti mereka sejak September tahun lepas.

Pesara Jabatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahibul Kiraya Haliman Shah, 56, berkata, dia melabur sebanyak RM35,000 manakala bekas guru, Omar Ismail melabur RM115,000 setelah dijanjikan pulangan bulanan sebanyak 3.3 peratus.

“Saya turut melabur RM15,000 untuk menternak cacing setelah mengikuti kursus anjuran syarikat berkenaan dan setakat ini hanya mendapat pulangan berjumlah RM20,000 iaitu bayaran untuk September dan Oktober lepas,” kata Omar.

Seorang peniaga, K Jayakumar, 42, dari Taman Kulim Square, Lunas dekat sini bersama 10 anggota keluarganya kerugian hampir RM500,000 kerana menyertai skim pelaburan berkenaan sejak 6 Jun tahun lepas.

Jayakumar berkata, mereka hanya dibayar sebanyak dua kali daripada pelaburan yang dibuat dan beberapa cek pembayaran selepas itu ditolak oleh bank.

“Kami merayu pihak berkuasa mengambil tindakan bagi mengembalikan wang pelaburan yang dibuat kerana ramai yang meminjam dari bank dan saudara-mara untuk membuat pelaburan tersebut,” katanya. - BERNAMA_sinarharian

Tiada ulasan: