Sahabat Purnama

Isnin, 12 April 2010

Pasangan kekasih dicekup

GUA MUSANG- Sepasang kekasih yang menjalinkan hubungan sulit selama hampir setahun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di bandar ini, malam kelmarin.
 
Pasangan itu dicekup berdua-duan dalam sebuah bilik sebaik diserbu Skuad Amru bersama Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir.

Serbuan kira-kira jam 11.20 malam itu selepas menerima aduan awam mengenai pasangan terbabit bermalam di sebuah hotel berkenaan dengan mengambil masa 10 minit sebelum membuka pintunya.
 
Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan terlebih dahulu bagi memastikan bilik hotel yang diserbu itu tidak tersalah bilik orang lain yang menginap di situ.

Menurutnya, selepas mendapat maklumat lengkap terus mengetuk pintu bilik hotel terbabit sebelum dibuka seorang lelaki yang sudah berpakaian lengkap dan melakukan pemeriksaan di dalamnya.
 
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 25 tahun sudah beristeri dan mempunyai anak dua itu tinggal di Kampung Kadok, Kota Bharu manakala gadis berusia 18 tahun anak Orang Asli di Kampung Kuala Betis.
 
“Pasangan itu mengakui sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan cuba bermesra dengan menyewa sebuah bilik hotel murah untuk melepas asmaranya, dan gadis anak Orang Asli itu memang belum memeluk agama Islam dan kita hanya mengambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.

Anuar berkata, lelaki terbabit ketika diberkas merayu untuk dilepaskan kerana takut rahsia cinta keduanya terbongkar kepada isteri tetapi dia tetap dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk buat laporan.
 
Menurutnya, selepas itu dia dibawa pula ke Pejabat Agama Jajahan untuk diambil keterangan lanjut sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang 18 Mei depan.

Lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. _sinarharian
 

Tiada ulasan: