Sahabat Purnama

Isnin, 3 Mei 2010

1,000 pelabur rugi RM17 juta

KOTA BHARU - Kira-kira 1,000 pelabur dari seluruh negara termasuk Kelantan kerugian RM17 juta setelah dipercayai ditipu sebuah syarikat jualan langsung yang terletak di Pasir Puteh, dekat sini.

Kesemua mangsa terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta ini sanggup bergolok gadai dan berhutang dengan pihak bank bagi menyertai perkongsian modal berkenaan yang menjanjikan pulangan lima hingga 10 peratus kepada setiap pelabur berdasarkan pelaburan.

Mangsa menceritakan kutipan deposit berkenaan kerana kekurangan modal untuk membuka agen syarikat berkenaan di Gua Musang dan pelabur mula menawarkan pulangan serta peserta ini dikaburi dengan cop daripada pesuruhjaya sumpah berdaftar pada borang mereka.

Seorang mangsa, Norizan Mat Nor, 46, berkata, pada awal penglibatannya dengan syarikat berkenaan bermula pada tahun 2007 lagi dan sanggup menjual lori miliknya malah lebih teruk lagi kerana percayakan habuannya dia melakukan pinjaman berjumlah kira-kira RM60 dengan pihak bank.

“Saya bersama isteri melabur kira-kira RM207,000 untuk perkongsian modal bersama pemilik syarikat ini yang juga saudara saya sendiri.

“Pada awalnya saya mempercayainya kerana habuan yang dijanjikan ditunaikan oleh syarikat sehingga Mei tahun lalu tetapi bermula Jun sehingga kini pulangan berkenaan tidak sampai kepada kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Norizan yang juga kakitangan syarikat berkenaan berkata, dia bersama pelabur-pelabur yang lain merasa tertipu setelah tuntutan yang dijanjikan akan dijelaskan pada Ogos juga tidak dibayar.

“Setelah lama menunggu kami mendapatkan penjelasan daripadanya dan dia memaklumkan wang sejumlah RM17 juta itu berada dalam akaun ibu pejabat dan kami mempercayainya kerana dia juga menunjukkan cek dengan jumlah berkenaan kepada kami.

“Sebelum itu juga saya terkejut kerana ada dalam kalangan pelabur yang menerima cek tendang dan dia masih berkeras menyatakan wang berkenaan berada di akaun ibu pejabat,” katanya.

Sementara itu, seorang guru yang enggan dikenali memberitahu, dia juga mengalami kerugian setelah melabur lebih RM30,000 dan kira-kira 10 sanak saudaranya juga turut menyertai perkongsian modal itu.

“Saya terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan untuk mendapat keuntungan tanpa melakukan kerja yang banyak dan pada awalnya saya hanya melabur RM5,000 sahaja tetapi lama-kelamaan jumlah ini ditambah untuk mendapat pulangan yang lebih.

“Pada awal penglibatan memanglah ia menggembirakan kerana saya mendapat habuan seperti yang dijanjikan tetapi sekarang ini ia tidak berbaloi,” katanya.

Berikutan kekecewaan yang dialami pelabur-pelabur berkenaan yang diwakili kira-kira 13 ahli mengunjungi ibu pejabat mereka di Pulau Pinang dan dimaklumkan wang sejumlah RM17 juta itu sebenarnya tidak wujud.

Ekoran tidak tahan dengan alasan yang diberikan kira-kira 102 pelabur membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Puteh pada 24 April lalu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, pakar runding kepada mangsa-mangsa penipuan berkenaan, Mohammad Salihin Abdul Jalil berkata, masalah ini akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa kerana ini melakukan kutipan secara haram.

Mohammad Salihin juga memberitahu mangsa-mangsa lain yang masih belum membuat laporan berhubung kes berkenaan boleh menghubungi di talian 014-5023523 untuk tindakan lanjut.

“Kami akan membawa kes ini ke pihak atasan dan kami juga dalam proses melantik peguam bagi membela nasib mangsa yang tertipu ini,” katanya._sinar harian

Tiada ulasan: