Sahabat Purnama

Ahad, 25 Oktober 2009

Nik Aziz Tetap Mahu Muktamar Khas

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya meminta pimpinan parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menentukan kedudukan beberapa pemimpin yang menimbulkan masalah dalaman kepada parti.

Katanya, beliau tidak kisah walaupun ada negeri yang menolak cadangan itu, kerana apa yang penting hasrat untuk menyampaikan isi hatinya demi menyelamatkan parti, tercapai.

“Saya dah jawab dan saya tidak nak ulangi. Jawab sekali, dua kali, tiga kali, empat kali buat apa. Jawab dah kelmarin sekali cukuplah. Saya tidak akan tarik balik apa yang telah dinyatakan. Buat apa nak tarik balik kerana ia betul.

“Tak setuju tak apa. Saya hanya keluarkan fikiran (cadangan adakan muktamar khas) saya. Kalau setuju alhamdulillah, tak setuju tak apa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis kenduri doa selamat di Masjid Noor Aini di Pasir Hor, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah bekas Menteri Luar, Tengku Ahmad Rithaudden yang membiayai pembinaan masjid berharga RM500,000 di kampung itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumbuh, Baihaqi Atiqullah.

Menteri Besar kelantan itu berkata, beliau sudah matang dalam politik dan tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana pihak.

“Saya tidak mahu buat benda lain (pendekatan lain). Tak ada apa. Tak ada. Saya tak mahu buat benda lain, saya sebut sekali Pas terima Alhamdulillah, tak terima tak ada apa.

“Saya nak jaga Pas saya kerana Pas ini parti yang dihormati oleh masyarakat. Kalau ada orang itu ini, ada orang tulis artikel, saya kena buat sesuatu untuk menyelamatkan parti ini. Tanggapan orang, ikut dialah nak kata apa.

“Saya jawab saya buat dengan ikhlas nak jaga parti saya yang saya telah bajai lama, lama dah mengairinya, pagar pun dah lama. Tiba-tiba kalau ada orang kata begitu kepada kawan-kawan saya, saya sendiri pun terasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya mencadangkan parti itu mengadakan satu muktamar khas bagi menentukan kedudukan pemimpinnya, ditolak oleh sesetengah pemimpin Pas peringkat negeri atas alasan cadangan itu tidak perlu kerana tidak wujud pergolakan kepimpinan parti itu sama ada di peringkat pusat mahupun negeri ketika ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata, beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya Pas mengadakan EGM boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya.

Katanya, beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti._

sinarharian

Tiada ulasan: