Sahabat Purnama

Selasa, 20 Oktober 2009

PAS Persoal Ke Mana Perginya Slogan PM Terdahulu

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) hari ini mahukan kepastian berhubung fungsi slogan-slogan yang pernah diperkenal perdana menteri terdahulu iaitu gagasan Islam Hadhari, Bersih Cekap dan Amanah serta Wawasan 2020 setelah gagasan 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden PAS bertanya sama ada dengan adanya slogan 1 Malaysia bermaksud kerajaan telah mengenepikan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh perdana menteri terdahulu.

"Setelah kerajaan memperkenalkan seruan baru 1malaysia adakah bermakna Islam Hadhari, Bersih Cekap Amanah, Kepimpinan Melalui Tauladan telah gagal membentuk pemikiran rakyat untuk hidup dalam suasana harmoni dan baik?"soalnya.

Beliau turut mempersoal mengenai penubuhan Institut Islam Hadhari (HADHARI), di Universiti Kebangsaan Malaysia oleh kerajaan.

"Kerajaan telah menerima institut Islam Hadhari. Adakah bermakna dengan peruntukan begitu rupa,adakah ia akan menjadi kenangan setelah adanya 1 malaysia sebagai slogan?"soalnya lagi.

Beliau mengajukan soalan itu ketika bangun mencelah selepas Najib menjawab soalan Datuk Dr. Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai sejauh manakah penerimaan rakyat jelata ke atas seruan "Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia-one people" dan jenis program-program yang difikirkan berkesan yang boleh dirangka bagi mencapai hasrat 1Malaysia.

Najib bagaimanapun berkata gagasan 1Malaysia dianggap sebagai kesinambungan dasar-dasar yang diperkenalkan sebelumnya.

"Kita (kerajaan) anggap ini sebagai kesinambungan sebab ia satu perjalanan yang panjang dan lama.Tidak mungkin boleh sampai ke penghujung dalam masa satu penggal hatta empat, lima penggal pun.

"Insyaalah apabila kita melakukan seperti mana yang kita terangkan tadi gagasan 1Malaysia dan nilai-nilai yang mendasarinya yang juga menyokong kepada usaha kita untuk mencapai wawasan 2020,"katanya. _harakahdaily.net

Tiada ulasan: