RAHMAN SHAARI
Ahli-ahli UMNO yang baru bersidang telah pulang ke kampung masing-masing. Mereka amat bersemangat ketika bersidang. Presiden UMNO telah bersuara garang, jauh lebih garang daripada suara presiden sebelumnya. Pujian terhadap pidatonya telah kita dengari.
Ketika ahli-ahli UMNO ketara mempunyai semangat baru untuk bergiat bagi memperkukuh UMNO secara keseluruhannnya, MCA masih terumbang ambing. MCA masih memikirkan siapakah ketua yang terbaik antara yang baik-baik. Ahli-ahli MCA dengan beraninya telah memberikan tanda, biarpun presiden dan timbalam presiden yang sedia ada adalah baik-baik, mereka berdua tidaklah berapa baik untuk membawa MCA ke arah kecemerlangan. Ertinya, mereka berdua itu baik-baik, tetapi masih ada orang lain yang lebih layak dan perlu ditonjolkan bagi tujuan tersebut.
Dalam MIC, kita lihat presiden tidak terlalu aktif kini. Baik MCA, mahupun MIC, tidak kering daripada kritikan atau teguran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. UMNO juga menerima teguran, biarpun tidak terlalu keras. Terhadap UMNO, Tun mengatakan bahawa retorik tidak cukup. UMNO di desa hendaklah aktif dalam corak yang dapat memikat hati rakyat.
Sekarang tampaknya muncul zaman politik baru. Walaupun tidak begitu baru, rakyat akan dapat melihat sesuatu yang lain. Dalam hal perubahan, semuanya berubah. Tulisan ini tidak akan berjaya melukiskan perubahan dengan rinci, tetapi fakta-fakta yang bertaburan memperlihatkan perubahan.
Perubahan sikap
Yang di atas ialah perubahan sikap yang sedang berlaku dan sedang diharapkan berlaku. Perubahan dalam UMNO diperdengarkan cukup besar, sehingga dikatakan politik wang tidak boleh berlaku lagi. Itu yang diperdengarkan. Walaupun kita tahu setiap peraturan ada saja jalan untuk melanggarnya, namun sekurang-kurangnya telah diperdengarkan cita-cita yang besar untuk berubah. Keriuhan dalam MCA juga ialah keriuhan untuk berubah. Dalam MIC, kekuatan presiden menguasai orang-orangnya tidak menunjukkan perubahan kepimpinan, tetapi kemunculan parti baru yang ditubuhkan oleh kaum India menunjukkan akan berlaku perubahan.
Dalam Pas kita telah mendengar perubahan sikap ketua-ketuanya. Datuk Nik Aziz Nik Mat telah menunjukkan bahawa beliau menerima baik DAP dan Parti Keadilan secara bersungguh-sungguh, dan dengan itu secara tidak langsung soal negara Islam akan tenggelam di tangan DAP. Melalui Karpal Singh selama ini, kita telah mendengar bahawa Malaysia mesti kekal sebagai negara sekular. Bagi DAP, jika negara Islam tidak disebut-sebut, maka perpaduan dalam Pakatan Rakyat akan kekal dan kukuh. Jika negara Islam tidak disebut, pemimpin DAP tidak mengambil kira siapakah yang berpolitik untuk ke syurga, atau tidak ke syurga.
Tokoh politik yang dianggap cukup berprinsip, Datuk Zaid Ibrahim telah merminta cuti daripada mesyuarat biro politik PKR. Dalam tulisan yang lalu, saya telah meminta agar Zaid yang berprinsip itu tidak terlalu cepat keluar daripada PKR. Permintaan saya itu berasaskan bahawa dalam politik selalunya orang yang berprinsip akan tidak bersetuju dengan yang lain. Dalam PKR, bukan mudah untuk seseorang yang berprinsip menyetujui Azmin Ali. Oleh itu, Zaid yang berprinsip telah dengan beraninya melanggar permintaan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak ke Sabah. Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Naib Presiden, ada mengatakan bahawa: “18 leaders of the party’s 23 active divisions in Sabah have signed a memorandum voicing their protest over Azmin’s leadership in the state (Sabah)”. (Sunday Star, 18 Oktober 2009).
Kemasukan Zaid ke dalam PKR telah mengubah sikap ahli-ahli PKR terhadap Anwar. Ertinya, Anwar hendaklah dilihat sebagai penasihat parti itu dalam erti kata yang sebenar-benarnya, bukan presiden yang menentukan segala-galanya. Tian Chua mengatakan bahawa beliau yakin bahawa Zaid akan terus menjalankan tugas yang diberikan kepadanya oleh parti. Ertinya, parti bukanlah Anwar, kerana hasrat parti seperti yang diimpikan oleh para ahli mungkin tidak begitu sama dengan hasrat Anwar. Jika ini merupakan pandangan baru, maka kita katakan perubahan berlaku juga di dalam PKR.
Tidak boleh lama chaos
Perubahan amat dituntut kerana Malaysia tidak boleh terlalu lama berada dalam keadaan chaos politik ini. Keadaan chaos, atau kacau, akan menyebabkan rakyat tidak selesa. Bagi yang tidak matang, keadaan kacau begini memudahkan hadirnya konflik, kerana masing-masing menyangka ketua-ketua mereka betul dan baik belaka. Ketua-ketua dalam parti lawan dianggap serba buruk atau serba durjana. Pandangan lurus bendul ini diakibatkan oleh kegagalan membaca dan mendengar segala yang diperkatakan dengan fikiran politik yang tulen dan berbelit-belit. Pandangan lurus tidak akan dapat menangkap jalan politik yang berbelit-belit, kerana belitan ialah lawan kelurusan.
Dalam keadaan terbaru ini, kita mungkin dapat melihat kesegaran politik balik ke rakyat. Politik Malaysia hanya akan segar jika kerajaan kuat, dan pembangkang berada pada tahap selesa. Jika kerajaan lemah, dan pembangkang mempunyai kekuatan yang hampir-hampir sama dengan kerajaan, keadaan chaos akan kekal. Ini bukanlah bermakna kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan apa pun di Malaysia ini, jika berhadapan dengan pembangkang yang amat kuat, keadaan akan sentiasa kacau. Hal ini demikian kerana kerja pembangkang di Malaysia betul-betul membangkang. Ertinya, jika pihak kerajaan bertukar tugas, (misalnya menjadi pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat), kerjanya membangkang juga.
Yang di atas ada pengecualiannya, iaitu jika setiap tokoh politik hanya memikirkan rakyat. Bilakah ini akan terjadi? Jika berlaku, inilah perubahan besar._sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan