KOTA BHARU – “Saya sempat membuka pintu kereta dan merangkak keluar dalam keadaan kesakitan sebelum kereta terbakar lebih teruk.”
Itulah gambaran saat getir dilalui oleh Tengku Ahmad Nazim Tengku Azizan, 30, kakitangan Jabatan Perangkaan yang terselamat setelah kereta jenis Persona dipandunya itu terbabas dan kemudiannya terbalik sebelum terbakar sehingga mengakibatkan tiga sahabatnya rentung.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi di Kilometer Dua Jalan Kota Bharu – Kuala Krai, tiga sahabatnya iaitu Wan Nordiana Mohd Kamarul Zaman, 22, dari Ketereh; Tengku Shamsu Tuan Ibrahim, 25, dari Tanah Merah dan seorang warga negara Amerika Syarikat Gonzalez Christoper, 25, rentung setelah kereta yang mereka naiki terbakar.
Tengku Ahmad Nazim yang memandu kenderaan berkenaan melecur di badan, lengan dan kaki itu ditempatkan di Wad Teratai di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan dilaporkan stabil manakala mayat ketiga-tiga sahabatnya itu dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.
Menurutnya, dia bersama kawan-kawannya itu pulang daripada makan di sebuah kedai sup belut dekat Jalan Pasir Mas – Salor kira-kira jam 4 pagi.
“Ketika dalam perjalanan saya cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dan kenderaan saya gagal dikawal menyebabkan terbabas.
“Selepas keluar dari kereta saya pengsan dan tidak menyedari apa yang berlaku sehingga menerima rawatan di hospital ini,” katanya ketika ditemui di HRPZ II semalam.
Sementara itu, bapa mangsa Tengku Azizan Tengku Mohamad, 63, berkata anak kelimanya itu keluar rumah sejak jam 10 malam pada hari kejadian.
“Pada awal pagi semalam sebelum saya keluar membeli barangan keperluan di pasar saya mendapati keretanya tiada di garajnya tetapi tidak mengesyaki apa-apa kejadian buruk yang berlaku kepadanya.
“Saya terkejut setelah menerima panggilan telefon daripada isteri saya, Che Zabidah Ibrahim, 66, kira-kira jam 7.30 pagi memaklumkan pihak hospital menghubunginya memberitahu Nazim kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Operasi menyelamat dari Balai Bomba Kota Darul Naim, Ghani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.13 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera serta 12 anggota.
Ghani berkata, ketika sampai di tempat kejadian pihaknya mencuba untuk menyelamatkan kesemua mangsa yang berada di dalam kenderaan itu tetapi gagal ekoran api sudah merebak dengan cepat.
“Bagaimanapun, anggota mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran sepenuhnya dan bomba terpaksa memotong kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang rentung.
“Salah seorang daripada mangsa berada di bawah kereta berkenaan dan sudah didapati rentung,” katanya._sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan