KUALA LUMPUR – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan mengatakan Datuk Zaid Ibrahim mengambil cuti enam bulan dan tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti kerana tekanan dihadapi dalam parti itu.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mahu berehat di samping mengerjakan ibadah haji di Mekah, November ini.
“Zaid bercuti kerana mahu mengerjakan haji dan menyelesaikan urusan peribadi lain,” katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran PKR Lembah Pantai di sini, semalam.
Ketua Pembangkang itu turut menafikan perselisihan faham antara Zaid dengan Naib Presiden PKR, Azmin Ali sebagai satu masalah besar dalam parti, sebaliknya boleh berlaku terhadap mana-mana pemimpin.
Anwar berkata, beliau juga pernah berselisih faham dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain sebelum ini tetapi disebabkan komitmen tinggi terhadap rakyat, perkara itu boleh diselesaikan secara baik dengan berunding.
“Ini bukan konflik MCA, bukan konflik MIC mahupun peperangan dalam UMNO, perkara ini menjadi besar kerana digembar-gemburkan oleh media yang dikawal UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan mengejut Zaid yang mengumumkan ‘cuti politik’ selama enam bulan berkuat kuasa serta merta.
Tindakan Zaid itu bagaimanapun didakwa sesetengah pihak akibat perselisihan faham dengan Azmin.
Menurutnya, PKR sentiasa berpendirian mana-mana pemimpin pusat boleh datang ke majlis anjuran negeri atas pelawaan seperti mana beliau hadir ke rumah terbuka di mana-mana saja.
“Zaid boleh hadir mana-mana majlis atas pelawaan PKR negeri dan ini adalah pendirian kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan UMNO melakukan pindaan Perlembagaan parti semata-mata untuk kelangsungan hidup parti itu dan BN.
Menurutnya, ia dibuat untuk memberi gambaran kepada rakyat bahawa UMNO bersungguh-sungguh mahu membanteras politik wang sedangkan perkara lain seperti sistem kehakiman, polis dan media langsung tidak berubah.
“Walaupun mereka menukar polisi dan agenda parti mereka, bagaimana pula dengan sistem-sistem yang dikawal oleh UMNO-BN, semua ketua adalah dari muka-muka lama, jadi perubahan apa yang mereka cakapkan?
“Mereka sanggup buat apa saja demi kelangsungan hidup UMNO, kelangsu- ngan hidup pemimpin UMNO dan memanjangkan sedikit riwayat hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata, UMNO melakukan perubahan itu kerana perjuangan rakyat yang dibawa oleh Pakatan Rakyat semakin mendapat sokongan akar umbi.
Ditanya sama ada PKR turut melakukan pindaan terhadap parti, Anwar berkata, PKR selama ini jauh lebih telus daripada UMNO. _sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan