Sahabat Purnama

Ahad, 18 Oktober 2009

Penguatkuasaan Lemah, Punca Rasuah Sukar Dibendung

Hashim Abdullah

TEMERLOH, 16 Okt: Isu Politik wang dan pembudayaan rasuah yang menular dalam parti-parti politik di negara ini tidak mampu diselesaikan jika negara tidak mampu menguatkuasakan undang-undang rasuah yang sedia ada.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada ceramahnya di Kampung Paya Jauh semalam berkata, antara punca berlakunya pengamalan rasuah adalah disebabkan wjudnya pendakwaan terpilih dan sistem pencegahan yang berbeza-beza.

"Sekarang ini kita tengok kalau orang yang rasuah itu kakitangan kerajaan macam polis biasa yang ambil RM10 ke RM20, dia cepat didakwa dan dikatakan rasuah, tetapi apabila melibatkan pemimpin tinggi ia tak didakwa kerana dikatakan komisyen.

"Begitu juga rasuah yang membabitkan parti politik macam Umno, tidak didakwa di Mahkamah kerana ia diambil tindakan oleh parti walau pun berlaku rasuah. Tindakannya pula berpilih-pilih.

"Sebab itu kita tengok berlaku ketidakadilan. Sebagai contoh, Norza yang bertanding MT didakwa oleh Mahkamah kerana rasuah, sedang rasuah Isa Samad yang bertanding jawatan tinggi sebagai Naib Presiden Umno tidak didakwa di mahkamah, hanya parti yang hukum dia jadi mana keadilannya. Sebab itu kita tuntut hanya satu undang-undang rasuah dikuatkuasakan," katanya.

Dalam mengulas isu rasuah dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Naib Presiden PAS itu mahukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak atas aduan yang dibuat PAS bersabit salahlaku rasuah pemimpin Umno.

"Kita ada bukti dua pemimpin Umno terlibat merasuah pengundi, kita ada rakaman sebab itu kita mahukan SPRM bertindak," katanya. _

harakahdaily.net

Tiada ulasan: