Sahabat Purnama

Sabtu, 28 November 2009

Pengganti Tuan Guru: Hentikan berbalas kenyataan dalam media

Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 28 Nov: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
 

Tiada ulasan: