Sahabat Purnama

Isnin, 16 November 2009

Umno guna media, SPRM intai kesalahan pemimpin Pakatan - Anwar

M Faqih

KOTA BHARU, 15 Nov: Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan setiap ruang yang ada pada media dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari kesalahan pemimpin Pakatan Rakyat.

Terbaru mereka cuba mengenakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan isu tajaan untuk menunaikan ibadat haji.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin Umno menggunakan setiap peluang untuk memperhodohkan wajah pemimpin Pakatan Rakyat.

“Sampai Tok Guru Nik Abdul Aziz hendak menunaikan haji pun cuba disekat dengan menggunakan media dan SPRM.

“Kerja khianat pemimpin Umno juga berterusan dilakukan dengan menggunakan sepenuhnya media massa yang mereka kuasai,” katanya pada perasmian penutup konvensyen KeADIlan Kelantan di KTC di sini, petang ini.

Hadir sama Setiausaha Agung PKR, Datuk Salahuddin Hashim, Ketua PKR Kelantan, Saifuddin Nasution Ismail, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim.

Jumaat lalu Nik Abdul Aziz mengumumkan membatalkan hasrat menunaikan haji tahun ini disebabkan media sengaja membesarkan isu penajaan untuk ke Mekah.

Malah SPRM dilaporkan membuka fail siasatan berhubung isu terbabit.

Anwar berkata, biar pun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menguar-uarkan konsep 1Malaysia, namun sebenarnya undang-undang yang dipakai ada dua di negara ini.

“Pemimpin Pakatan Rakyat cuba dianiayai dengan pelbagai tindakan melalui undang-undang, sedangkan pemimpin Umno dan BN terselamat.

“Tidakkah ini dinamakan sebagai dua undang-undang dan bukan 1Malaysia yang disibukkan perdana menteri,” ujarnya.

Beliau yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata, sebab itulah pemimpin KeADILan yang tidak ada daya tahan mudah mengambil langkah mengkhianati parti sendiri.

Katanya apa yang berlaku kepada dua bekas Adun KeADIlan di Perak, seorang di Selangor dan seorang lagi di Kedah kerana tidak mempunyai daya tahan yang tinggi dalam perjuangan.

“Kalau beri RM5,000 mereka masih lagi tahan, kalau diberi RM50,000 mereka mulai goyah dan kalau diumpan ratusan ribu mereka sanggup meninggalkan perjuangan.

“Seperti juga berlaku kepada Adun Pelabuhan Klang yang sudah tujuh bulan didapati bermasalah. Ketika saya panggil dia datang dan memberitahu jangan ganggu dia,” katanya.

Lebih 1,000 perwakilan dari Cabang KeADILan di Kelantan hadir pada program separuh hari itu. Dua kertas kerja dibentang termasuk oleh Saifuddin dan Setiausaha Badan Perhubungan Terengganu, Rosli Abdullah.

Pada majlis itu juga Saifuddin menyerah 1,685 borang menyertai KeADIlan kepada Anwar.

_harakahdaily.net

Tiada ulasan: