Sahabat Purnama

Isnin, 30 November 2009

Murugiah bidas Kayveas, tidak layak jadi Presiden PPP

Azamin Amin   
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Selain MCA, kemelut parti komponen BN, Parti Progresif Penduduk (PPP) semakin parah apabila dua pemimpin tertingginya saling bercakaran antara satu sama lain.

Di Lobi Parlimen pagi tadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T Murugiah membidas Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang memberi tempoh 14 hari supaya beliau meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam, sekiranya tidak mahu digelar ‘Timbalan Menteri Haram’.

Kayveas dilaporkan berkata, mengikut Perlembagaan PPP (Artikel 6.10), seseorang yang dipecat daripada parti dan
apabila mempunyai jawatan dalam kerajaan, Parlimen atau Kabinet perlu meletakkan jawatan.

Murugiah di sidang medianya menjelaskan bahawa perlembagaan itu tidak wujud dan Kayveas hanya menyeleweng fakta.

"Bagaimana nak jadi Presiden PPP jika ini pun dia tak tahu. Kayveas kena letak jawatan kerana dia gagal tadbir
parti.

"Sebab itulah di ditolak di Taiping...banyak juga lebih 11,000 undi," katanya.

Murugiah turut mendedahkan bahawa Kavyeas tidak pernah menyerahkan akuan dan penyata tahunan parti kepada ROS malah mendakwa logo parti PPP juga tidak sah.

"Yang didaftarkan adalah logo 6 bintang bukannya seperti logo 5 bintang," katanya sambil menunjukkan logo parti yang didakwa sah.

Murugiah turut mempersoalkan bidang kuasa Kavyeas yang mahu beliau meletakkan jawatan sedangkan lantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah merupakan hak keistimewaan seorang Perdana Menteri.

"Dia siapa...adakah dia PM, AG (Peguam Negara) atau Sultan?"

"Dia tiada kuasa. Kuasa mutlak di bawah PM. Ini pun dia tidak faham, bagaimana dia jadi Presiden PPP?," katanya yang turut mendedahkan beberapa kepincangan yang berlaku di dalam PPP.

Antaranya berhubung pemilihan di perhimpunan PPP di mana ada ahli parti Gerakan yang turut mengundi, yang jelas bertentangan dengan peraturan.

"Saya ada bukti, ada ahli Gerakan yang mengundi semasa perhimpunan tetapi isu ini diketepikan oleh ROS dan
mengishytiharkan dia Presiden PPP yang sah," katanya.

Terdahulu Kayveas dipetik sebagai berkata, Murugiah tidak terlibat sama sekali dalam parti itu lagi dan tidak boleh
bersuara atau mengeluarkan pendapatnya mengenai PPP selepas dipecat pada 16 Mei lalu, selain tidak mempunyai kuasa memberi tempoh kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menjawab surat rayuannya berhubung kesahihan pemecatannya dalam PPP.

“Tempoh 14 hari diberikan sebelum ini untuk beliau mengemukakan rayuan terhadap pemecatannya, tetapi beliau tidak buat langsung dan kini meminta ROS menjawab surat rayuannya setelah tamat tempoh.

“Tiada mana-mana kuasa yang boleh mengarahkan ROS atau meminta ROS membuat keputusan berdasarkan desakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada Murugiah untuk tidak mengganggu atau mencampuri sebarang urusan PPP atau cubaan menghasut terhadap mana-mana ahli parti itu dan menasihatkannya bertemu mereka yang berpengalaman dalam mendapatkan nasihat bagaimana mahu mengambil hati parti itu semula sekiranya ingin kembali bersama PPP._harakahdaily.net

Tiada ulasan: