Sahabat Purnama

Rabu, 9 Disember 2009

Penjelasan isu terkini di Taman Melewar malam ini

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Bekas Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu akan menjelaskan beberapa isu yang melanda Kelantan dan mengulas isu-isu terkini membabitkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang tidak disenangi rakyat.

Beliau juga akan melancarkan Tabung Peduli Pak Usop dan Facebook Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar, hari ini Rabu 9 Disember ini.

Program yang turut dihadiri Ahli Parlimen Rantau Panjang, Zailah Mohd Yusuf dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dianjurkan oleh Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan bagi mengutip sumbangan orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat untuk membiayai pembinaan rumah baru untuk Ketua Cawangan PAS Setia Jaya, Mohd Yusof Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Usop.

Menurut setiausaha lajnah ini, Tarmizi Mohd Jam, pihaknya sedang menyelaraskan kerja-kerja bagi mendapatkan tajaan simen, kayu-kayan, papan, batu-bata, pasir, atap dan segala keperluan berkaitan.

Rumah Pak Usop hangus dijilat api pada 20 November lalu dan semua barangan tidak dapat diselamatkan.

Pada program itu juga, Mohd Sabu akan melancarkan Facebook Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Manusia PAS Wilayah Persekutuan.

Tarmizi berkata, bersama dua lagi penceramah, Zailah dan Wee Choo Keong dijangka mendedahkan bagaimana taktik jahat Umno untuk meruntuhkan Kerajaan Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz yang kini panas diperkatakan.

Orang ramai dan penyokong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai pada malam ini.

Sementara itu, Mohamad Sabu terlebih dahulu,  sebelum program ceramah bermula, akan menyampaikan Kuliah Motivasi Rakyat di Markas PAS Batu, di bangunan rumah kedai Taman Melewar, tidak juah dari Markas PAS Pusat mulai jam 9.20 dan berakhir 9.40 malam.

Kuliah ini terbuka kepada orang ramai dan orang bukan Melayu amat digalakkan untuk hadir bagi memahami peranan mereka terhadap gerakan rakyat yang patut dilangsungkan dalam berdepan dengan BN._harakahdaily.net

Tiada ulasan: