Sahabat Purnama

Rabu, 9 Disember 2009

Pengikut Ashaari disekat promosi poligami

Salhan K Ahmad

Nasib yang menimpa Rufaqa Corporation – diisytiharkan haram kerana cuba menghidupkan gerakan Al-Arqam – dibimbangi akan berulang ke atas sebuah syarikat baru yang dibangunkan oleh pengikut-pengikut Ashaari Muhammad.

Perkembangan syarikat baru yang didaftarkan sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd, yang ditubuhkan sejak hampir setahun lalu, dikesan mula dikekang oleh pihak berkuasa apabila ia mula bertindak mendaftar ahli-ahlinya.

Pengarahnya syarikat itu Hatijah Aam berkata usaha itu dikesan apabila Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan mendaftarkan sebuah kelab yang dianjurkan oleh syarikat itu.

Hatijah, seorang isteri Ashaari, menjelaskan usaha untuk mendaftarkan Kelab Poligami Ikhwan itu dihalang selepas kelab tersebut dilancarkan Ogos lalu dalam satu majlis di Bandar Country Homes, Rawang – lokasi baru kegiatan bekas pengikut Arqam.

"Pada bulan Ogos itu kami lancarkan untuk tengok sambutan. Alhamdulillah, sambutannya baik apabila dilaporkan dalam media. Tetapi ada menteri yang tidak setuju dengan kelab ini, jadi usaha untuk daftar pun tidak berjaya," katanya lagi.

Hatijah berkata demikian sebagi merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilaporkan menyebur penubuhan kelab sedemikian "tidak berfaedah" dan "tidak mempunyai hala tuju positif."

Reaksi lain termasuklah kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang dilaporkan menyebut, individu yang mengamalkan poligami tidak seharusnya berbangga sehingga menubuhkan kelab.

Jamil juga dilaporkan berkata, kepentingan harus diletakkan kepada pelaksanaan poligami itu supaya mengikut lunas Islam, dan bukannya terhadap penubuhan kelab atau persatuan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Hatijah berkata, polis Bukit Aman juga telah menasihati beliau supaya kelab tersebut tidak ditubuhkan kerana bimbang akan "menimbulkan salah faham" di kalangan masyarakat.

"(Bukit Aman) tidak mahu timbul masalah kerana sejarahnya sebelum ini Rufaqa pun telah diharamkan kerana mengamalkan ajaran sesat. Jadi kami dinasihatkan untuk daftar syarikat lain," katanya.

Jelasnya, kebimbangan berhubung kelab tersebut dipercayai wujud kerana ia dikhuatiri menjadi medan baru untuk menghidupkan semula ajaran-ajaran Ashaari.

"Mereka bimbang platform motivasi kepada ahli kelab (secara tertutup) ini kami gunakan untuk mencari pengaruh dan sejarah mungkin berulang. Jadi Kelab Poligami Ikhwan kita hentikan dulu.

"Sekarang kami tumpukan kepada aktiviti-aktiviti perniagaan sebab masyarakat lebih yang suka kepada aktiviti-aktiviti ekonomi kami," kata Hatijah ketika dihubungi._malaysiakini bm

1 ulasan:

cicitHJHASSANu berkata...

salam tuan...

senang jer,ikut rentak 'hindraf'..
mulanya haram,tapi bila sokong Najib jadi halal..wallahua'lam