Sahabat Purnama

Rabu, 28 Oktober 2009

PAS sedang membina Lekok Ketiga organisasinya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: PAS disifatkan sedang mengalami konflik dalaman yang bakal melahirkan 'Lekok Ketiga' dalam sejarah perjuangannya.

Dr Mujahid Yusof Rawa, pengkaji organisasi PAS yang mendapat PhD dalam pengurusan organisasi melalui tesisnya mengenai PAS menulis, konflik yang sedang melanda PAS kini akan melonjakkan lagi PAS di masa depan.

"Mengikut 'Teori Lekok Pembelajaran' tiga titik bermulanya lekok teori, pertama ialah titik bermula, kedua ialah titik mendaki dan ketiga ialah titik kemuncak. Setelah kemuncak ia akan menurun. Dalam organisasi keadaan yang sama boleh berlaku kerana itu adalah sunnah organisasi," tulisnya.

Mujahid menulis untuk sebuah akhbar politik iaitu Siasah berkata, PAS telah melalui dua lekok utama sebelum ini iaitu zaman awal PAS yang memucak di zaman Datuk Asri Haji Muda.

Ia kemudiannya jatuh dan naik semula dengan lekok kedua di bawah kepimpinan ulamak. Ia sedang memuncak dan dengan krisis yang ada ia bakal menurun dan proses pembentukan Lekok Ketiga sedang berjalan, katanya dalam tulisan itu.

Kepimpinan Ulamak jika diandaikan pendakiannya pada tahun 90an, umur lekok itu sekarang ialah 19 tahun.

Image"Apakah organisasi PAS memerlukan Lekok Baru untuk meneruskan persaingannya di pesada politik yang hari ini semakin merumitkan dan dicam dengan kepelbagaian?" tanya beliau.

"Apakah Lekok itu mula terbentuk hari ini dengan perkembangan mutakhir dalam organisasi parti PAS? Apakah andaian dari pengalaman organisasi PAS yang lampau memungkinkan lahirnya peluang dan ruang untuk PAS melonjak lebih jauh hasil dari konflik yang ada hari ini?" tulis beliau.

Dalam menghadapi situasi sebegini, organisasi boleh mengambil lima pendekatan iaitu sapu ke bawah permaidani masalah yang timbul, matikan dengan kuasa konflik itu, menyerah kalah atau uruskannya secara berstruktur.

Tulisan penuh Mujahid boleh dibaca dalam Siasah Jumaat ini._ harakahdaily

Pemuda PAS mahu terus terang dalam mesyuarat malam ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Mesyuarat Dewan Pemuda PAS malam tadi mengambil keputusan agar semua pihak yang berbeza pendapat dalam PAS berterus terang dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Mereka meminta agar perbezaan pendapat mengenai halatuju PAS diselesaikan secara tuntas dalam mesyuarat khas itu agar ia tidak lagi berlarutan.

"Pemuda mahu semua yang kata nak bekerjasama dengan Umno jelaskan sikapnya, manakala yang dikatakan pro-Pakatan sehingga membelakangkan parti juga menerangkan sikap mereka.

"Dari situ kita minta semua mengambil pendirian bersama dalam menentukan halatuju parti," kata Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS.

Mesyuarat yang dipengerusikan ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi itu juga mengambil pendirian agar Lembaga Disiplin PAS diaktifkan sepenuhnya dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak sahaja yang didapati bersalah dalam menguruskan parti.

Perkara ini diberitahu Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily pagi ini.

Dewan Pemuda PAS telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian Pemuda menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan malam ini ekoran tulisan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya.

Tulisan itu mencadangkan agar PAS mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk memilih semula pimpinannya ekoran rasa tidak puashati beliau terhadap pimpinan yang ada.

Nik Aziz telah mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat khas yang akan diadakan malam ini mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agung PAS. _harakahdaily.net

Nik Aziz tidak mahu gaji MB Kelantan tinggi

M Faqih

KOTA BHARU, 28 Okt: Kerajaan negeri bersetuju atas desakan Adun bagi menaikkan gaji mereka daripada RM3,600 kepada RM4,600 selepas mengambil kira kos kehidupan semakin meningkat sekarang.

Ini kerana di negeri-negeri lain kenaikan kadar elaun Adun sudah dilakukan sejak 2004 lagi iaitu selaras dengan pertambahan gaji anggota parlimen.

Selain Adun, anggota Exco juga menikmati kenaikan sebanyak RM700 berbanding sekarang sebanyak RM5,400.

Manakala Timbalan Menteri Besar mendapat kenaikan sebanyak RM2,200 berbanding RM6,600 sekarang dan Menteri Besar pula dinaikan sebanyak RM2,600 menjadikan RM12,800.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, gaji baru Menteri Besar Kelantan masih rendah berbanding Menteri Besar Terengganu sebanyak RM14,175.

"Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu terus mengekalkan gaji Menteri Besar Kelantan lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain,"katanya.

Tarikh kuatkuasa gaji baru itu bermula pada 1 April 2004.

Selain itu, kerajaan Kelantan juga mencetus idea baru apabila bersedia menerima wakil rakyat pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya ia tidak menyalahi peraturan.

Husam berkata, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya mendapat restu daripada Menteri Besar.

"Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,"katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun semalam.

Menurutnya, pelantikan timbalan kepada anggota Exco daripada Adun yang mempunyai kelayakan profesional dapat membantu kerajaan bagi merancang lebih banyak lagi program untuk manfaat rakyat.

"Ini satu keperluan dan bukan sekadar mengisi mereka ke jawatan yang baru. Mereka akan menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM1,500 dan kuasa untuk menjalankan tugas.

"Mereka boleh melawat jabatan-jabatan kerajaan sebagai menggantikan Exco yang kesibukan dengan pelbagai tugasan lain," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Exco tidak mempunyai kemudahan lain seperti kereta dan pejabat. Kelantan sekarang mempunyai 10 anggota Exco termasuk Timbalan Menteri Besar.

Sebelum ini kerajaan Kelantan mempunyai timbalan Exco, namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas.

Sebelum itu, Datuk Nozula Mat Diah (BN � Paloh) cuba mempertikaikan cadangan kerajaan negeri melantik timbalan Exco bagi membantu tugas-tugas anggota Exco.

Menurutnya, pelantikan itu bertujuan untuk memberi ruang lebih banyak lagi Adun di kalangan penyokong kerajaan mendapat elaun tambahan.

Abdul Fatah Harun (PAS � Bukit Tuku) pula mahu bukan seorang Adun yang dilantik sebagai timbalan kepada seorang anggota Exco bagi membolehkan tugas dilaksanakan dengan lebih berkesan. _ harakahdaily.net

Pemuda PAS desak Kosmo tarik artikel Peristiwa Memali

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak supaya akhbar Kosmo menarik balik artikel yang disiarkan 26 Oktober lalu yang mengaitkan Peristiwa Memali dengan ajaran sesat.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan turut menggesa akhbar berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada PAS serta keluarga dan waris yang terlibat dalam peristiwa tersebut.

Pemuda juga tegasnya, akan mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya Kosmo gagal berbuat demikian.

"Dewan Pemuda PAS menyanggah sekeras-kerasnya tulisan dalam Kosmo bertajuk 'Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat' yang mengaitkan Peristiwa Memali denagn ajaran sesat," katanya.

Pemuda PAS ujarnya, sangat kesal dengan artikel yang jelas berunsur fitnah melampau dan berniat jahat terhadap PAS dan perjuangan rakyat yang menolak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malah maklumat dalam artikel itu juga ujarnya, tidak tepat dan tersasar daripada fakta kejadian sebenar.

"Tulisan tersebut jelas bertujuan menghasut dan dengan niat menanam kebencian rakyat terhadap perjuangan PAS," katanya lagi.

Peristiwa Memali pada tahun 1985 mencatatkan sejarah hitam apabila kerajaan telah menggunakan kekerasan ketenteraan melampau terhadap rakyat yang tidak bersenjata.Mereka mempertahankan hak mereka untuk menentang penggunaan undang-undang zalim ISA.

Artikel berkenaan turut menghina Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mencemar duli untuk menyiram air mawar di pusara para syuhada. Almarhum Tuan Guru Haji Omar Zuhdi Pondok Lanai Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Al Marhum Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya adalah syahid._ harakahdaily.net

Mahkamah Rayuan tolak usaha keluarkan keterangan deraan SPRM

Harakahdaily

PUTRAJAYA, 28 Okt: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan keterangan Sivanesan Tanggavelu yang mendakwa beliau didera ketika disiasat SPRM.

Sivanesan memberikan keterangan itu dalam inkues kematian Teoh Beng Hock di mahkamah koroner Shah Alam.

Semasa keterangannya, Sivanesan berkata beliau didera oleh pegawai SPRM ketika disisat oleh pegawai SPRM itu di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam.

Sivanesan memberitahu inkues, bahawa salah seorang pegawai SPRM yang menggunakan batang besi dibalut dengan kertas untuk memukul mangsa adalah Mohd Asraff Yunus, saksi ke-19 inkues kematian TBH.

Saksi misteri tersebut juga berkata, bahawa Mohd Asharff Yunus terlalu ganas dan brutal. Pegawai sprm ini memaksanya telanjang dan menendang dan menamparnya bertalu-talu.

SPRM dalam permohonannya agar keterangan ini dikeluarkan kerana ia tidak ada kaitan dengan perbicaraan kes Teoh Beng Hock.

Teoh, pembantu kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, mati akibat terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.

Seorang pakar patologi dari Thailand, Dr Pornthip dalam keterangannya berkata, tengkorak kepada Teoh retak bukan kerana jatuh tetapi akibat dari pukulan kuat ke atasnya.

Dia juga berkata, 80 peratus punca kematian Teoh adalah kerana dibunuh dan kebarangkalian dia membunuh diri hanya 20 peratus sahaja.

Ekoran keterangan itu, keluarga Teoh meminta agar bedahsiasat ke atas mayat Teoh dibuat sekali lagi dengan penyeliaan dari Dr Pornthip itu. _harakahdaily.net

APABILA BERMULA DENGAN HARAM............

Semuanya bermula dengan haram, akibatnya semua jadi haram belaka. UMNO BN rampas kuasa tidak melalui mandat rakyat. 3 Adun dicolek oleh mereka kemudian mengisytiharkan keluar parti, menjadi bebas dan menyokong BN. Pakatan Rakyat hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri, Hj Nizar mengambil tindakan yang betul, beliau mengadap Tuanku mohon DUN dibubarkan supaya rakyat diberi mandat semula memilih kerajaan yang sah. Dalam masa yang sama Speaker dengan kuasanya dan berdasarkan surat perletakan jawatan ADUN yang ditandatangani oleh ketiga-tiga mereka memaklumkan kekosongan ketiga kerusi DUN tersebut kepada SPR, dan meminta SPR mengadakan pilihanraya.Pengisytiharan kosong kerusi tersebut tidak diendahkan oleh SPR.

Najib pula masuk mengadap selang 2 hari selepas Hj Nizar mengadap, memohon pada tuanku perkenankan lantikan MB yang baru dari BN tanpa terlebih dahulu ada usul undi tidak percaya kepada Hj Nizar di Dewan Undangan Negeri atau perletakan jawatan Hj Nizar sebagai MB atau pembubaran DUN.

Tuanku perintahkan Hj Nizar mengadap pada hari yang sama Najib mengadap. Tuanku minta MB Nizar letak jawatan, sebaliknya MB Nizar bertegas tidak akan meletakkan jawatan sebagai MB dan mohon DUN dibubarkan. Tuanku tidak mendengar nasihat MB Nizar supaya DUN dibubarkan sebaliknya minta Nizar letak jawatan. Pada hari itu dan seterusnya tidak berlaku perletakan jawatan secara rela hati oleh YB Dato' Seri Hj Nizar, tidak juga berlaku usul undi tidak percaya dikemukakan dalam dewan dan diterima dengan suara majoriti oleh anggota dewan.

Pada hari yang sama Najib mengisytiharkan pembentukan kerajaan haram BN dan melantik Zambry sebagai MB haram negeri Perak. Selang sehari kemudian, Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram negeri Perak.

Itulah rentetan ringkas bermulanya sejarah pembentukan dan perlantikan kerajaan BN yang haram, berikutan itu, semuanya jadi haram. Perlantikan Speaker juga haram, tata caranya bercanggah sama sekali dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perintah Tetap DUN Perak, akibatnya semua jadi haram. Persidangan yang dijalankan dengan Speaker haram juga jadi haram, pembentangan bajet juga haram kerana dibentangkan dan diluluskan cara haram. Jadi semunya haram belaka.

Hari ini, bajet dibentangkan dengan kelam kabut, diluluskan serta merta tanpa perbahasan. Sidang bajet sebelum ini dibentang dan dibahas paling kurang 2 hari, digulung dan dijawab oleh MB akhirnya diluluskan. Tetapi hari ini, sidang bajet dibentang dengan penuh kesangsian kemudian lulus begitu sahaja dan sidang ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang lain.

Dalam sidang 7 Mei yang lalu, Tuanku bertitah merasmikan sidang. Titah Tuanku juga tidak dibahas oleh Adun-adun, tidak ada usul menjunjung kasih di atas titah Tuanku, sidang ditanggunh tanpa disambung semula bagi membahaskannya sehinggalah sidang hari ini.

Itulah akibat bermula dengan haram, semua jadi haram. Dunia memerhatikan betapa jijiknya amalan dan permainan politik UMNO BN di Perak. Rakyat di Perak mahu DUN dibubarkan, buat pilihanraya semula, rakyat mahu mandat dikembalikan kepada mereka setelah mandat 2008 dirampas dengan cara yang tidak beradab oleh oleh UMNO BN.

Semua rakyat percaya, sekiranya DUN tidak dibubarkan, begitulah suasana politik negeri Perak. Ia menjadi tidak keruan, persidangan akan datang akan berulang kembali insiden yang sama. Ekonomi negeri tidak akan memberangsang, pelabur asing tidak berani melabur di Perak, rakyat tetap tidak puas hati._http://misabah.blogspot.com/

Selasa, 27 Oktober 2009

EGM

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.

Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.

Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.

Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.

Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?

Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.

Antaranya, 1) Anda mesti ikhlas 2) Anda mesti memohon pembabasan denganNya daripada keburukan fitnah itu 3) Anda mesti adil menilai 4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk 5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama 6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik 7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik 8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan. 9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal 10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan 11) Anda jangan nak jadi hero.

Diberitakan daripada sumber yang sahih bahawa al Ikhwanul Muslimin di Mesir juga ada kucah dan kacau hari ini. Antara sebabnya adalah dunia blog. Dunia blog hari ini adalah cukup tanpa adab seolah – olah ada lesen daripada ugama untuk tidak berakhlak dalam berblog!

Di mana – mana pun ujian mesti ada dan kena ada. Kerana Allah ada di mana – mana.

Saya melihat sesetengah ahli PAS cukup berani di dalam berblog. Malangnya, mereka hanya berani berbohong, memfitnah dan menyebar semua kata – kata manusia dan peristiwanya. Lebih malang, mereka tidak berani untuk berkata benar, apatah mengakuri pada yang benar.

Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.

Adapun isu EGM, saya yakin ianya akan selesai. Ia bukan balah orang jahil. Ia isu orang alim yang disayangi dan yang tidak ingin kecuali kebaikan untuk ummah. Justeru ia mungkin panas di awal, tetapi akan ada penyelesaian selepas ada persefahaman.

Yang payah nak selesai ialah balah orang jahil, payah nak faham apatah nak bersefahaman.

Yang saya takut ialah balah ini sengaja dipanjangkan selepas ianya disurutkan dan diredakan. Saya harap saya dan anda tidak terlibat walaupun saya tak mungkin boleh mengharapkan semua jangan terlibat.

Saya tinggalkan anda dengan sebuah ayat daripada Allah yang maha bijaksana. Hayatinya, ianya sungguh menenangkan.

“Tiadalah terjadi sebarang musibah di bumi dan tiada juga (terjadi) di dalam diri kamu sendiri kecuali ianya telah sedia termaktub di dalam kitab ( di sisi kami ) sebelum Kami lepaskannya. Sesungguhnya itu di sisi Allah adalah teramat mudah. Yang demikian adalah agar kamu tidak berduka cita di atas apa yang telah hilang daripadamu dan kamu tidak pula bersuka ria dengan apa yang kamu perolehi. Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan bermegah – megah.” al Hadid:22,23

Janganlah terlalu gundah dan janganlah terlalu bersuka ria.

_http://nikabduh.wordpress.com

Kenapa Awie melenting pendedahan Akhill Hayy? Macam ada benda yang tak kena je..

Kiriman maliksho07

Awie berkata Akhil perlu mencermin dirinya dulu yang sebelum ini turut terpalit dengan dunia glamor.Awie berkata, kehidupan artis yang menjadi ‘public figure’ memang sentiasa disuluh lampu terang yang semestinya mahu memperlihatkan kecantikan yang dimiliki dalam sinaran cahaya berkenaan.Walaupun mengakui ada artis yang tergelincir (terbabit dengan kegiatan maksiat), Awie mempertikaikan mengapa hanya golongan itu dikaitkan dengan pelbagai kegiatan tidak bermoral, termasuk ajaran sesat.

“Sebagai artis kita fokus terhadap apa yang hendak kita lakukan dan tidak berdiri di pentas ceramah sambil memaki dan mencerca orang lain,” katanya

Awie turut mendakwa penceramah terbabit pernah memperlekehkan lagu Sejati mengikut selera sendiri ketika berada di pentas ceramah.

“Saya meminta penceramah muda ini supaya tidak menilai seseorang itu secara melulu dan melalui ‘kulit’ saja, kerana ada ketikanya ada individu mempunyai ‘kulit’ yang baik, tetapi sebenarnya busuk di dalam.

“Dia baru setahun jagung dalam dunia artis dan terlalu mudah serta sewenang-wenangnya mahu menilai kehidupan artis sekarang kononnya terpengaruh dengan ajaran sesat,” katanya.

>Hanya dakwah, saling mengingati

PUTRAJAYA: “Apa yang saya luahkan (amalan ajaran sesat di kalangan artis) atas dasar dakwah dan saling mengingati sesama golongan artis dan tiada niat untuk menunjukkan saya ini ‘suci’ berbanding orang lain.

“Saya juga manusia dan tidak menafikan ada melakukan kesilapan, tetapi saya mahu melihat kehidupan golongan artis diperbaiki agar berada di landasan sepatutnya,” kata penceramah dan pengacara rancangan ilmiah televisyen, Akhil Hayy, semalam.

Menurutnya, walaupun niatnya ikhlas untuk berbuat kebaikan sesama artis, dia akur jika ada di kalangan penggiat seni sukar dan tidak mahu menerima hakikat cabaran baik dan buruk dalam dunia itu.

Akhil berkata, dia bukan bercakap berdasarkan nafsu, tetapi satu peringatan bukan untuk dirinya, malah untuk rakan artis supaya berwaspada dan tidak tergelincir sehingga membawa kepada jurang kesesatan.

“Sebenarnya, saya tidak menuduh mana-mana pihak tapi berdasarkan kepada pengalaman sepanjang terbabit dalam dunia artis yang penuh cabaran.

“Bagi saya, apabila membabitkan soal akidah, ia bukan tanggungjawab saya saja, tapi juga tanggungjawab semua umat Islam termasuk juga artis yang juga ikon masyarakat.

“Sebagai ikon, kita perlu menunjukkan contoh dan teladan baik supaya mampu melahirkan masyarakat yang memiliki nilai murni,” katanya.

Dia mengulas kritikan penyanyi rock, Ahmad Azhar Othman atau Awie, 42, yang tidak selesa dengan kritikan Akhil terhadap segelintir golongan artis yang kononnya menjadi tali barut ‘guru ghaib’ bagi menyebarkan ajaran sesat.

Akhil berkata, dia tidak mempunyai niat tersirat atau mencari publisiti murahan, tetapi hanya mahu mengingatkan rakan artis mengenai pentingnya memberi perhatian terhadap soal akidah.

Menurutnya, memang kebanyakan umat Islam mengaku Islam, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman kepada Allah.

“Jika mereka tidak salah mengapa perlu hendak memarahi orang lain dan saya tetap perlu melakukan kebaikan walaupun terpaksa menghadapi banyak cabaran.

“Saya meminta golongan artis yang terasa `pedas’ dengan `cili’ yang diberikan supaya melihat nasihat itu dengan mata hati dan cuba berprasangka baik yang mungkin boleh membawa kebaikan kepada mereka,” katanya.

Akhil berkata, sebagai umat Islam, dia tidak mahu kehidupan artis masih dibelenggu dengan konsep `lu lu’ dan `gua gua’ yang sebenarnya tidak dianjurkan Islam.

Menurutnya, walaupun tidak menafikan rasa tidak senang segelintir artis, dia mengakui masih ada artis yang celik dan menerima nasihat diberikan dengan hati terbuka.

“Saya masih melihat ada artis yang mempunyai kekuatan untuk melihat kebaikan hendak kita sampaikan,” katanya.

Oleh itu, dia berharap mesej yang cuba dibawa kepada masyarakat artis perlu diberikan perhatian kerana mereka adalah ikon masyarakat yang mempunyai ramai pengikut._tkodaily

Hadi persoal isu pendidikan Islam, Bahasa Arab

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Marang Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempersoal usaha kerajaan dalam meningkankan kebolehupayaan pelajar menguasai bahasa Arab peringkat menengah.

Ianya ekoran Universiti Azhar manarik semula pengiktirafannya terhadap Malaysia, kerana pelajar di negara ini didakwa gagal menguasai bahasa itu dengan baik.

Menjawab soalan lisan di Parlimen pagi tadi, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr. Mohamad Fuad Zarkasyi menjelaskan masalah tersebut dibawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pun begitu, Menteri Pelajaran tersebut menjelaskan sebanyak RM1.2 juta diperuntukan untuk guru bahasa arab dan penyediaan bahan bantu mengajar (BBM).

Ujarnya lagi, pengenalan bahasa Arab di peringkat sekolah bermula pada tahun 1977, dan berkembang sehingga kini melalui program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).

Tambahnya lagi, seramai 1,287,250 murid telah didedahkan tentang pengajaran bahasa Arab di 4467 buah sekolah.

Kerajaan juga telah menubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sejak 1997, sehingga kini diperkenalkan pula Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah-sekolah kelas harian.

Mencelah kemudiannya, Hadi yang juga Presiden Pas meminta Fuad menjelaskan pula usaha kerajaan menangani Islamphobia melalui pendekatan pendidikan Islam.

Menjawab soalan tambahan itu, Fuad menjelaskan isu Islamphobia adalah cabaran bersama, tanpa mengira warna kepartian Umno atau Pas.

Sebelum menamatkan jawapan lisannya, Fuad sempat mencuit Hadi mengatakan beliau menyokong idea Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan Hadi demi kepentingan politik Umno dan Pas sendiri._ harakahdaily.net

Usaha pecah-belahkan PAS, awas 'cyber troopers' Umno!

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli PAS diingatkan agar berwaspada dan sentiasa berhati-hati serta bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh 'cyber trooper' Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.

"PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

"Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan,"jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya,dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden PAS bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

"Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok.

"Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan,"jelasnya lagi.

Selain itu katanya,PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.

"Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun,"katanya.

Beliau juga yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.

Oleh itu,tambahnya, PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini.

"Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

"Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dari-Nya,"tegasnya._ harakahdaily.net

'Mukjizat palsu media'

Ahmad Lutfi Othman

Media memang dianggap berpengaruh besar, malah ada yang melihatnya sebagai penentu, dalam persaingan merebut kuasa. Dalam konteks politik Malaysia, persaingan itu begitu berat sebelah, terutama apabila media tradisi dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah.

Pelbagai akta dan peraturan digubal bagi encengkam pemilik media, seterusnya 'memenjarakan' para wartawan dan editor. Seringkali faktor 3M (media, money, machinery) dianggap membantu BN mengekalkan kemenangan "di padang permainan yang tidak pernah sama rata".

Kemunculan media baru bermula dalam pilihan raya 1999 telah memecahkan hegemoni BN terutama apabila ruang maya menyediakan persaingan yang lebih saksama. Pengenalan internet secara besar-besaran pada 1997, seperti penggunaan emel dan laman web, diikuti kemudiannya oleh blog, youtube, Twitter, Facebook dan seumpamanya, bukan saja memberi peluang rakyat Malaysia untuk akses kepada kepelbagaian sumber maklumat, malah mencabar kedudukan BN yang berdekad lamanya hegemonik dalam membentuk pemikiran dan budaya politik masyarakat.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik UKM, Mohamad Nadzri Mohamed Noor (Politik Malaysia di Persimbangan, 2009) mengingatkan, merujuk tiga pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, "kita dapat melihat jatuh bangun pakatan parti oposisi meskipun mereka menggunakan dan menguasai ruang maya secara konsisten dan lebih menyeluruh berbanding BN, dan BN pula agak ketinggalan dalam penggunaan media online, namun BN tetap berupaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999 dan mencapai kemenangan terbesarnya dalam PRU 2004. Oleh itu, kempen efektif dalam ruang siber semata-mata kelihatan tidaklah memadai dalam menarik pola pengundian yang signifikan ..."

Sengaja saya tekankan hal ini memandangkan ada tanggapan daripada aktivis Pakatan Rakyat bahawa kemenangan mereka untuk pilihan raya akan datang, di zaman langit terbuka ini, agak terjamin disebabkan masyarakat semakin meninggalkan media tradisi seperti akhbar, hatta TV, dan beralih sepenuhnya kepada media baru.

"Jika media benar-benar bebas, atau kita tidak diserang bertubi-tubi oleh media yang dikawal mutlak oleh BN, nescaya rakyat akan menyokong kita," begitulah kira-kira hujah mereka.

Mereka yakin BN jauh ketinggalan dalam usaha memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat ini. Dengan itu pengundi akan mendapat maklumat lebih seimbang daripada media alternatif dan tidak mudah tertipu lagi dengan propaganda murahan BN. Mereka juga percaya bahawa sesiapa yang menguasai informasi - kini dilambahkkan dalam media baru - maka automatik ia akan menerajui kuasa.

Maka apabila Pakatan kalah dalam mana-mana pilihan raya misalnya, yang dipersalahkan adalah kegagalan jentera penerangan untuk berfungsi dengan berkesan, terutama bagi menyanggah serangan lawan, sekali gus melakukan pujukan.

Propaganda media BN pula dikatakan begitu berjaya mempengaruhi pengundi seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa hebatnya, meskipun parti itu dan calonnya bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Tukang spin dilihat berupaya menjadikan "yang hitam itu putih" pada kacamata pengundi dan membuatkan kebenaran terus tertimbus dan tidak dipedulikan.

Tidak dinafikan bahawa media (sama ada tradisi mahupun baru) perlu dikuasai selok-beloknya, bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga pengisiannya. Namun yang tidak kurang penting - malah mungkin lebih mustahak - adalah menguasai isu sebenar, merasai penderitaan rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat, menjuarai usaha membela golongan bawahan, menampilkan kualiti kepimpinan, serta membentuk keyakinan kita mampu melakukan perubahan dan tidak mengulangi kebobrokan sistem lama. Usah remehkan kemampuan rakyat untuk menilai dan menghakimi pretasi parti dan calon yang telah diberikan kepercayaan dalam pilihan raya lalu.

Benar, politik itu permainan persepsi tetapi media juga semakin sukar memikul tugas sebagai "tukang putar". Hari ini mungkin rakyat terkeliru dan tertipu dengan kelicikan media, namun ia tidak kekal lama. Kebatilan akhirnya terbongkar jua.

Justeru, jika kita tersungkur, ia bukan semata-mata diperangkap media musuh, tetapi juga berpunca dari kelemahan sendiri, yang disaksikan secara nyata oleh pengundi.

Lihat saja pilihan raya 2004 - BN tetap jauh ketinggalan dari segi penguasaan media baru tetapi kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad berjaya "menyihirkan" tanggapan umum.

Oleh itu, pertama, usah terlalu yakin dengan "sakti" media baru, dan kedua, jangan memandang rendah pihak lain yang cuba mempamerkan diri mereka sebagai "telah berubah".

Malah, dengan dakwaan hegemoni pembangkang di alam siber kian terhakis, ditambah kritikan pengkaji media - merujuk semasa kempen Bagan Pinang - bahawa Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan sebaiknya internet untuk menyanggah serangan BN, maka ia menuntut kesungguhan untuk memperbaiki kekurangan dan kealpaan itu.

Sebagai wartawan, saya lebih cenderung untuk mengingati diri tentang kelemahan dalam operasi menjuarai jihad pena ini, selain membetulkan salah tanggap ahli dan pemimpin Pakatan terhadap "mukjizat" media.

"Padang yang sama rata" pun tidak akan membawa kemenangan jika pemain tidak berketrampilan, jurulatihnya tidak kreatif dan pengurus pula tidak hiraukan kebajikan! _ harakahdaily.net

Tanggungjawab ahli gerakan Islam sedarkan ummah

Ustaz Zainudin Hashim

Kedatangan para anbiya di muka bumi ini adalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT, sama ada yang berupa arahan/perintah-Nya, hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran di mana pada akhir-akhir ini ia hanya jadi bahan bacaan semata-mata tetapi tidak dilaksanakan.

Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa kepada-Nya.

Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahal sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat.

Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah/dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal, ia terbukti bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal.

Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' / 'Bekalan para pendakwah' ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah.

Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan ummah hari ini

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.

Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti Sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain.

Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga. -lanh

52 Tahun Umno Memperjuangkan Melayu, 99.08 Peratus Penagih Melayu

E-mail Print PDF

KEMAMAN – Bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Kapten (B) Zahar Hashim berkata Umno bukanlah satu parti yang memperjuangkan orang Melayu.

Beliau yang telah menjadi ahli Umno selama 29 tahun tahun dan menjadi Ketua Bahagian selama 20 tahun berturut-turut berkata, kaum yang paling ramai miskin di Negara ini adalah orang Melayu dan penagih dadah paling ramai adalah orang Melayu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada satu program penerangan PAS DUN Chukai di Gong Limau, kelmarin.

Dakwaan beliau ternyata benar, Umno yang merosakkan orang-orang Melayu apabila Agensi Anti Dadah Kebangsaan mendedahkan laporan terbarunya.

Dalam laporan tersebut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia berjaya mengesan seramai 2,721 penagih terkumpul di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan AADK Malaysia, Tanasegran Sinnathambi berkata, berdasarkan rekod Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi), ia menunjukkan penurunan sebanyak 69.32 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, tahun lalu jumlah penagih dadah yang dikesan di seluruh negara ialah 8,870 orang.

”Manakala sehingga Ogos lalu, bilangan penagih baru yang dikesan seramai 1,543 dan ia berkurang sebanyak 61.82 peratus berbanding jumlah penagih baru dalam tempoh sama pada tahun lalu yang berjumlah 4,041 orang.

”Sementara itu, seramai 1,178 penagih berulang dikesan sehingga Ogos lalu dan berlaku penurunan sebanyak 75.61 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu seramai 4,829 orang,”kata Tanasegran.

Justeru, Kapten (B) Zahar Hashim menyeru ahli-ahli Umno supaya meninggalkan Umno dan mengikuti jejak langkahnya, menyertai PAS dalam memperjuangkan orang Melayu dan Ugama Islam._buletinonline

Isnin, 26 Oktober 2009

GARIS PANDUAN TINGKAH LAKU ETIKA ISLAM DALAM PERNIAGAAN

PROF MADYA SYED OMAR BIN SYED AGIL

ISLAM DAN PERNIAGAAN

Islam adalah satu cara hidup yang lengkap dan sempurna(ad-Din). Ia menyediakan peraturan dan garis panduan untuk manusia dalam segala aspek ehidupan manusia termasuk bidang perniagaan.

`Tidak Kami abaikan sesuatu pun dalam Al-Kitab'
Tujuan peraturan dan garis panduan ini adalah untuk memastikan kemaslahatan manusia dapat di pelihara dan segala unsur yang boleh merosakkan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat di halang.

`Dan tidak kami utuskan kamu( wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam'

Sudah semestinya agama serta peraturan dan garis panduan yang terkandung di dalam nya yang dturunkan oleh Maha Pencipta kepada manusia adalah lebih baik daripada peraturan yang di sediakan oleh manusia itu sendiri yang mempunyai serba kelemahan.

`Manusia itu di ciptakan lemah' Oleh itu tanggungjawab manusia di muka bumi adalah untuk menjalankan amanah menegakkan agama Allah SWT dan peraturan serta hukum-hukumnya termasuklah memanfaatkan segala sumber-sumber semulajadi dan lainya yang di cipta oleh Allah mengikut apa yang di tetapkan oleh Allah untuk kebaikannya dan makhlok lain kerana dia akan di pertanggungjawabkan di depan Allah SWT di hari pembalasan nanti.

Berdasarkan Al-Quran, Hadis dan sirah Rasulullah s.a.w jelas bahawa Islam menggalakkan perniagaan. Malah adalah suatu hakikat bahawa perkembangan dunia Melayu dan perniagaan Islam merupakan dua perkara yang tidak dapat di pisahkan. Sejarah bangsa Melayu telah mempamirkan satu hubungan yang begitu jelas antara keduanya.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kejayaan bangsa Melayu dalam bidang ekonomi dan perniagaan bermula dengan keberkesanan perlaksanaan sistem ekonomi Islam dalm bentuknya yang tersendiri pada awal abad 15 dengan tersebarnya agama Islam dan terbinanya Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana yang dapat di kaji dalam dokumen-dokumen sejarah seperti Tuhfat al-Nafis, Undang-Undang Melaka, Undang-Undang Pahang, Suma Oriental of Tome Pires, The Book of Duarte Barbosa, Rihlah Ibn Batuta, Undang-Undang Laut Melaka dsbnya.

Falsafah Umum

Falsafah umum perniagaan yang menjadi asas kehidupan Muslim.
Falsafah ialah pegangan individu atau masyarakat mengenai ketuhanan, manusia, kebahagiaan dan persoalan-persoalan asas kehidupan. Falsafah ini akan menentukan sikap seseorang itu terhadap dirinya, orang lain dan kerjanya. Sikap ini akan memberikan kesan terhadap tindakan dan gelagatnya dalam mengendalikan kerjanya.

FALSAFAH ISLAM ADALAH DIASASKAN OLEH TAUHID.

Definasi tauhid : secara umumnya ia bermaksud mengakui dan mempercayai keesaan Allah.
Kepercayaan dan keyakinan ini merangkumi perkara-perkara berikut:

a. Adanya tuhan langit dan bumi.
b. Ia pencipta keduanya dan segala yang ada diantara keduanya.
c. Ia pemilik segala yang ada dialam ini.
d. Pemberi rezki kepada setiap yang hidup.
e. Pentadbir setiap perkara.
f. Mengesakan Allah dengan ibadat.
g. Taat sepenuhnya dan tunduk kepadanya serta tidak menyembah kecuali kepada dia sahaja.
h. Melaksanakan perintahnya dalam segala aspek kehidupan.

KESAN TAUHID DALAM KEHIDUPAN MANUSIA(1)

A. Memberikan Misi Yang Jelas Dalam Setiap Pekerjaan.

Misi setiap muslim yang diserapkan dengan tauhid ialah untuk melaksanakan perintah Allah dalam setiap aspek kehidupannya - dalam kehidupan individu, berkeluarga, masyarakat dan bernegara. Dalam sistem ekonomi, politik dan sosial.
Dalam setiap aktiviti dan kegiatannya dia akan berusaha untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam. Apa yang dikehendaki oleh Allah itulah apa yang akan dibuat olehnya.

Dengan cara ini manusia muslim akan memperolehi matlamat yang unggul iaitu `Al-Falah' iaitu kebahagiaan dunia dan akhirat.
sekiranya ditanya `apakah misi organisasinya atau pekerjaanya'. Dia akan menjawab `sebagaimana yang dituntut oleh Islam'. Untuk tujuan ini, ilmu pengetahuan yang sesuai adalah diperlukan supaya dia tahu apa yang dituntut oleh Islam itu dalam pekerjaannya dan hidupnya.

B. Membebaskan Manusia.

Dalam peperangan Qadisiyah apabila Rib'i b. `Amir berdiri dihadapan ketua perang Parsi, Rustam untuk menjelaskan matlamat kedatangan Islam, beliau menjawab:
`.........Dan untuk membebaskan manusia daripada memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada satu dunia yang lebih luas dan daripada penindasan agama lain kepada keadilan Islam'

(1) Al-Qardawi Yusuf "Pengertian Tauhid" terjemahan AbdulMajid Abdullah, Pustaka Salam, 1987.

Dengan tauhid kita dapat diselamatkan dari tunduk kepada manusia dan terkungkung dengan pendapat seseorang. Dengan ini jiwa manusia dan hidupnya bebas dari tunduk, merendah, menghina dan menyerah kepada yang lain dari Allah.

C. Membentuk Peribadi Yang Seimbang

Peribadi yang seimbang atau `Balanced Personality' banyak disebut oleh `guru-guru pengurusan' barat atau western `Management Gurus' termasuklah Stephen Covey. Secara teorinya ianya sesuatu yang boleh diperkatakan. Tetapi secara praktisnya, ianya hanya boleh dibentuk dalam satu masyarakat yang beragama.
Masyarakat sekular tidak akan dapat melahirkan peribadi yang seimbang walaupun ianya disebut berulang-ulang kali.

Peribadi seimbang yang dilahirkan melalui tauhid ialah seimbang dari aspek roh dan jasadnya, `akal dan nafsunya, ilmu duniawi dan akhirat, manusia yang inovatif dan kreatif, sabar dan tegas, mempunyai visi dan misi dalam kehidupannya serta cekap dan ikhlas dalam memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat dan bersifat proaktif dalam menangani permasalahan dalam kehidupannya, serta berjaya dalam hidup didunia dan persediaannya untuk akhirat. Seimbang juga bermaksud mampu melahirkan suasana yang baik samada dipejabat atau organisasinya dan dirumahtangganya. Semuanya dalam keadaan yang stabil dan harmoni.

D. Sumber Kebahagiaan Dan Ketenangan Jiwa

Stephen Covey, salah seorang guru pengurusan terkenal telah menyebut satu masalah yang biasa kita dengar dikalangan `Top Executives' dan ahli perniagaan yang telah berjaya:

`Everyone tells me i'm highly successful. I've worked and scraped and sacrificed, and i've made it to the top. But i'm not happy. Way down inside i have this empty feeling. It's like the song says,'is that all there is?
most of the time, i just don't enjoy life.....(first things first)

Sebenarnya dengan tauhid hati seseorang dapat dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan. Ia telah menutup pintu ketakutan, takut tentang rezki, takut kepada ajal, takut kepada diri, takut kepada keluarga dan anak-anak, takut kepada manusia dan takut kepada mati.

Adapun seseorang mukmin yang mentauhidkan Allah, ianya tidak takut kepada sesuatu atau seseorang kecuali hanya kepada Allah.
Sebab itu ia sentiasa dalam keadaan bahagia dan tenang.

E. Tauhid Asas Persaudaraan Dan Persamaan

Persaudaraan dan persamaan tidak akan tercapai dalam kehidupan manusia, bila terdapat dikalangan manusia ada yang menjadi tuan kepada manusia lain. Tetapi bila semua manusia itu dikira sebagai hamba Allah maka ianya adalah sebagai punca dan asas persaudaraan dan persamaan diantara sesama manusia.

Hatta dalam pekerjaan sekalipun semangat ini jelas kelihatan sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

`Pekerja kamu adalah saudara kamu. Mereka yang bekerja dengan kamu telah dijadikan tunduk dibawah kamu oleh Allah.'

Apabila kita percaya kepada Allah yang esa dan seterusnya mengabdikan diri seluruhnya kepada Allah maka akan lahir satu keadaan dimana mereka yang berbuat demikian akan bersaudara tidak ada perbezaan kaum dan tidak ada perbezaan warna kulit.

F. Kesan Tauhid Terhadap Akhlak

Kesan daripada perkara diatas akan lahir individu-individu yang berakhlak mulia dan amanah. Dia seorang yang konsisten dalam menjalankan tugasnya dengan cekap dan penuh tanggungjawab(akauntabiliti) kerana ikatannya hanyalah kepada Allah dan tidak pada orang lain.

KONSEP MANUSIA

Dalam Islam manusia adalah gabungan ruh dan jasad. Oleh itu kedua-dua unsur ini haruslah dibangunkan dan dipertingkatkan.
Imam al-Ghazali telah menggariskan empat jalan untuk mencapai kebahagian iaitu:

a. Memenuhi keperluan ruh
b. Memenuhi keperluan jasad
c. Memenuhi keperluan luaran
d. Memenuhi keperluan kepada petunjuk ilahi

Disamping itu manusia adalah `Khalifatullah fi Al-ardh' yang diberi amanah untuk membangunkan alam ini oleh Allah. Segala apa yang ada dibumi adalah milik Allah dan manusia diberikan hak sementara. Manusia akan disoal oleh Allah terhadap apa yang dibuat dengan harta yang diperolehinya.

Oleh itu kriteria yang digunakan oleh manusia untuk membuat keputusan tidak hanya dibatasi oleh dunia ini sahaja tetapi juga merangkumi alam akhirat.

FALSAFAH PERNIAGAAN.

Falsafah perniagaan dalam perspektif barat adalah sebahagian daripada misi institusi perniagaan itu yang menggabungkan 3 aspek penting:

1. Tujuan - kenapa institusi atau organisasi perniagaan itu wujud?
2. Strategi
3. Nilai dan etika kerja - polisi dan etika yang memandu sesuatu perniagaan dalam operasinya. Ia menjelaskan bagaimana seseorang pengurus perniagaan dan pekerja seharusnya bertindak.

TUJUAN

Secara umumnya tujuan atau `purpose' perniagaan dari perspektif barat ialah untuk mendapat keuntungan. Walaubagaimanapun matlamat perniagaan telah malalui perubahan peradigma. Bukan hanya untuk mendapatkan keuntungan tetapi juga untuk memenuhi tanggungjawab sosial. Perubahan ini adalah kesan daripada pengalaman masyarakat barat yang telah merasai kepahitan dari kualiti yang rendah dan keselamatan yang tidak terjamin apabila keuntungan sahaja yang menjadi tujuan perniagaan. Malah mereka menganggap tanggungjawab sosial sebagai satu cara untuk meningkatkan imej sesuatu organisasi perniagaan dalam sebuah masyarakat. Dengan cara ini dari sudut jangka panjang syarikat tersebut akan dapat meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

Ada berbagai-bagai tanggapan dikalangan ketua-ketua eksekutif atau pengurus-pemgurus syarikat dibarat mengenai tujuan atau falsafah perniagaan:

1. Untuk kebajikan pemegang-pemegang saham syarikat.
2. Untuk kebajikan pengguna
3. Untuk kebajikan pemilik-pemilik syarikat(perkongsian)
4. Untuk kepentingan pemegang saham, pekerja, pengguna dan `suppliers'
5. Untuk meningkatkan kualiti kehidupan bagi lelaki dan wanita yang bekerja( yang tidak menjejas alam sekitar, atau meningkatkan perkhidmatan pengguna, etc). Sesuatu yang melewati batas kepentingan diri keempat-keempat golongan tersebut. Sesuatu yang memberi `sense of mission' kepada syarikat tersebut.

STRATEGI

Ini menentukan logik perniagaan itu. Pihak pengurusan harus mengenalpasti suasana atau keadaan pasaran tempat ia akan bersaing. Ia harus juga menentukan apakah ciri kekuatan yang membolehkannya berada dalam keadaan yang selesa dan dominan. Umpamanya, strategi untuk mengeluarkan barangan yang berkualiti tinggi.

NILAI DAN ETIKA

Ini menjelaskan bahawa perkara-perkara dan aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh sese uab syarikat dan mereka yang mempunyai hubungan dengannya bukan sahaja baik dari sudut strategi untuk meningkatkan jualan tetapi ianya juga baik dalam ertikata yang sebenarnya. Hanya apabila seseorang pekerja itu mempunyai nilai peribadi yang selari dengan nilai organisasi atau syarikat yang dia bekerja, komitmen serta penglibatannya akan bertambah. Aspek yang perlu diberi penekanan,

- Kerjasama dan perundingan sebagai satu pasukan.
- alam sekitar
- hubungan pihak pengurusan dan pekerja, pengguna dan sebagainya.
- Kualiti barangan yang tidak memberikan kesan negatif kepada kesihatan.
Berdasarkan pandangan barat organisasi atau syarikat itu akan berjaya apabila perkara-perkara ini digabungkan iaitu, apabila strategi, nilai dan etika digabungkan dengan satu tujuan yang unggul yang melewati batas kepuasan kumpulan-kumpulan tertentu.

BAGAIMANA DENGAN KEUNTUNGAN SEMATA-MATA

Sesebuah syarikat tidak akan hidup dengan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dan mengenepikan aspek-aspek lain dari sudut jangka panjang. Dia dapat `Survivie' dari sudut jangka pendek. Tetapi apabila masyarakat dapat menilai kesan barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan serta perkhidmatan pengguna atau pembeli yang disediakan maka syarikat tersebut akan menerima kesan yang buruk.
Akhirnya jualan dan keuntungannya akan mulai menurun kerana tidak kompetitif dari sudut kualiti dan perkhidmatan(bagaimana kita melayani pembeli etc., mengakui kesilapan, senyuman menghadapi pembeli yang rumit, etc).

FALSAFAH PERNIAGAAN ISLAM

Falsafah perniagaan Islam lahir daripada falsafah kehidupan yang telah ditentukan oleh Islam. Berbeza dengan barat dimana falsafah perniagaan mereka bertukar atau berubah berdasarkan pengalaman mereka.

TUJUAN SYARIKAT ATAU PERUSAHAAN DIWUJUDKAN

Tujuan tidak boleh dipisahkan daripada falsafah Islam yang diasaskan oleh tauhid. Ia mencerminkan kesan tauhid dalam kehidupan manusia sebagaimana yang telah disebutkan.

MEMENUHI TANGGUNGJAWAB AGAMA

Di antara tujuan perniagaan diwujudkan ialah memenuhi tuntutan agama.

A. Ini Sesuai Dengan Tujuan Syari'at Diturunkan.
Syari'at Islam diturunkan untuk memenuhi tahap dharuriyyah(keperluan asas) manusia
yang didefinasikan sebagai pemeliharaan 5 perkara asas untuk kehidupan manusia iaitu:

1. Agama
2. Nyawa
3. Akal
4. Keturunan
5. Harta
Masa'lih - segala yang memelihara salah satu atau kelima-lima atau daripada perkara ini.
Mafa'sid - segala yang boleh memberi kesan negatif keatas salah satu atau kelima-lima perkara ini.

Oleh itu Islam mengharamkan mafa'sid dalam kegiatan perniagaan kerana jelas ia boleh memberikan kesan yang negatif terhadap pencapaian dharuriyyah iaitu pemeliharaan kelima-lima perkara ini. Umpamanya, arak diharamkan oleh Islam.

1. Kita boleh memahami rasionalnya dengan menganalisa kesan negatif arak terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia.
2. Apabila ianya boleh menjejas perkara-perkara ini ia akan merosakkan kehidupan bermasyarakat, menjejas ketahanan masyarakat dan nasib masa depan generasi akan datang. Perceraian, homoseksual, anak luar nikah, jenayah serta ketidakstabilan politik akan berleluasa.

3. Apabila perkara yang mafa'sid ini ditegah dan tidak dibenarkan untuk diperniagakan atau di keluarkan maka akan lahir masyarakat yang sihat, berakhlak mulia, produktif dan berkualiti tinggi.

Oleh itu kegiatan perniagaan dalam Islam adalah satu ibadah yang sekiranya dilakukan dengan niat yang ikhlas serta bersesuaian dengan kehendak syari'at Islam akan mendapat keredhaan Allah.

Ini selari dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi:
Sesuatu itu wajib apabila yang wajib tidak dapat dilaksanakan tanpanya.
Memenuhi tanggungjawab terhadap diri dan kehidupan sosial sesuai dengan kesan falsafah yang diasaskan oleh tauhid, tujuan kewujudan sesuatu syarikat ialah untuk memenuhi tanggungjawab berikut: (2)

a. Keperluan diri secara sederhana
b. Keperluan keluarga
c. Keperluan masa depan. Membantu dalam menghadapi perkara-perkara yang datang tanpa diundang
d. Keperluan anak-anak akan datang
e. Perkhidmatan dan sumbangan sosial, termasuk berusaha untuk menegakkan agama Islam, membantu kearah pencapaian matlamat negara seperti membasmi kemiskinan, menyediakan pekerjaan, menstabilkan harga, keselamatan,dll.

B. PEMBANGUNAN MENTAL, SPIRITUAL DAN JASMANI MANUSIA

Oleh itu jelas bahawa dalam Islam falsafah perniagaan ialah untuk membangunkan spiritual, mental dan jasmani manusia supaya manusia dapat melaksanakan tugasnya sebagai Khalifatullah fi Al-ardh' dengan sebaik mungkin.

(2) Siddiqui, M.N , The Economic Enterprise in Islam, Islamic Publications Ltd, 1988.
Rasulullah S.A.W Bersabda:

`Sesungguhnya kefakiran itu mendekatkan diri kepada kekufuran'
Rasululah S.A.W Bersabda:

`Tidak salah harta ditangan orang yang bertakwa'

C. HARTA SEBAGAI ALAT BUKAN MATLAMAT

Dalam Islam apa sahaja yang kita lakukan untuk mencari harta adalah dilihat sebagai alat untuk mencapai matlamat yang unggul iaitu untuk mentaati Allah dalam semua aspek kehidupan kita.

Sebagaimana yang disebut dalam al-Quran:

`tidakku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku'
(az-zariat, ayat 56)

Oleh itu termasuk diantara tujuan perniagaan ialah untuk usahawan mendapatkan keuntungan kerana itu merupakan hak yang diberikan kepada mereka kerana usaha dan risiko yang harus mereka tanggung.

D. CONTOH DIZAMAN AWAL ISLAM

Kita akan dapati bahawa ramai sahabat-sahabat Rasulullah yang telah berjaya sebagai pedagang dan peniaga walaupun pada awalnya mereka menghadapi banyak kesukaran dan rintangan. Malah boleh dikatakan bahawa Rasulullah telah berjaya melahirkan satu masyarakat perdagangan yang tumbuh dengan cepat selepas penghijrahan baginda ke Madinah.


PERNIAGA DAN USAHAWAN DILAHIRKAN MELALUI MOTIVASI


Rasulullah sebagai ketua negara telah memberikan motivasi dan galakkan kepada rakyat negara Islam dalam hal perdagangan.

Rasulullah telah bersabda:

`Didorang atas kamu ialah perniagaan kerana didalamnya ialah sembilan perspuluh daripada rezeki'.

Zubair Bin Awwam
Semasa hijrah Rasulullah ke Madinah Zubair telah pergi ke Syria untuk berniaga. Kemudian beliau mengikuti jejak Rasulullah ke Madinah dan meninggalkan segala hasil perniagaannya di Mekah.Semasa beberapa tahun di Madinah Zubair hanya memperolehi pendapatan yang sedikit dari bidang pertanian. Dia terpaksa menghadapi banyak rintangan dan dugaan. Kemudian berkat kesabaran dan ketabahan beliau telah memulakan bidang perniagaan dan akhirnya menjadi orang yang kaya di Madinah.

Abdul Rahman Bin Auf
Beliau merupakan seorang pedagang yang cekap dan pandai berniaga. Beliau merupakan pedagang yang terkaya di Mekah. Apabila beliau memeluk Islam beliau telah meninggalkan segala hartanya di Mekah dan ikut berhijrah ke Madinah.
Sampai di Madinah beliau terus mencari pasar untuk berniaga dan mampu bersaing dengan golongan pedagang yang sudah lama berdagang disana dan kemudian menjadi kaya.

Othman Bin Affan
Beliau merupakan seorang sahabat yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan merupakan diantara sejumlah kecil yang mampu membaca dan menulis di Mekah. Apabila beliau dewasa beliau telah membabitkan diri dengan kegiatan perniagaan dan berjaya memperolehi keuntungan yang banyak.
Apabila beliau berhijrah ke Madinah beliau telah membantu umat Islam yang dalam kehausan dengan membeli sebuah telaga kepunyaan orang yahudi dengan harga 35,ooo dirham kerana orang yahudi tidak membenarkan orang Islam menggunakannya.

KEUNTUNGAN DAN ETIKA PERNIAGAAN

Sebagaimana yang disebut diatas bahawa keuntungan adalah sesuatu yang menjadi hak kepada seseorang usahawan dari pandangan Islam. Keuntungan yang diperolehi itu harus digunakan berdasarkan apa yang menjadi tujuan kewujudan sesuatu syarikat itu.
Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Ali :

`Adalah menjadi hak kepada pedagang untuk memperolehi keuntungan atas usaha mereka menyediakan barangan yang berguna kepada masyarakat'(warkah beliau kepada malik bin al-haris sewaktu perlantikan sebagai gabenor mesir)

Walaubagaimanapun keuntungan seharusnya diperolehi melalui usaha-usaha dan kegiatan yang tidak bercanggah dengan etika perniagaan yang ditetapkan oleh Islam.

APAKAH ITU ETIKA PERNIAGAAN

Etika ialah satu perkataan yang datang dari bahasa Greek `Ethos' yang memberi maksud `Code Of Human Conduct' atau peraturan yang membatasi gelagat manusia. Oleh itu apabila disebut etika perniagaan ia memberi erti peraturan-peraturan yang membatasi gelagat atau tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan.

SUMBER ETIKA PERNIAGAAN

Etika perniagaan adalah diperolehi daripada dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Qur'an dan as-Sunnah. Sabda Rasullulah "Aku tinggalkan kerana 2 perkara sekiranya kamu pegang kedua-duanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Selain daripada itu ia juga dibincangkan oleh ulama'-ulama' dalam satu cabang daripada ilmu fiqh iaitu fiqh al-mu'amalat.

Secara umumnya adalah penting untuk kita memahami maqa'sid al-shari'ah atau tujuan shariah untuk menentukan bentuk dan kandungan kegiatan perniagaan kita (apa yang hendak dikeluarkan, bagaimana dan mengapa).

Dengan memahami etika perniagaan kita akan dapat memastikan perniagaan kita akan diredhai oleh Allah. Kita perlu menjawab soalan-soalan ini dengan berpandukan etika perniagaan Islam:

1. Bolehkah perkhidmatan atau barangan ini dikeluarkan? Kalau tidak boleh kenapa?
2. Kalau boleh, adakah kandungan barangan tersebut dibenarkan dari sudut halal atau haramnya, dan dari sudut kualiti agar ia tidak merosakkan kesihatan akal dan jasmani pengguna.
3. Adakah cara pemasaran barangan dan perkhidmatan tersebut bertentangan dengan etika Islam?
4. Adakah upah yang diberikan kepada pekerja kita berpatutan dengan kerja yang dibuat? Bagaimana dengan suasana pekrjaan, adakah sesuai untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti?
5. Adakah kerja memproses barangan dan perkhidmatan memberi kesan negatif kepada alam sekitar?
6. Adakah pembiayaan kewangan bagi mengeluarkan barangan atau menyediakan
perkhidmatan tersebut sesuai dengan prinsip Islam?


ETIKA PERNIAGAAN ISLAM 'PRINSIP TIDAK MEMUDARATKAN' ATAU 'NO INJURY PRINCIPLE'


Dalam menggariskan etika perniagaan, Islam menjadikan 'Prinsip Tidak Memudaratkan' atau 'No Injury Principle' sebagai asas penting. Prinsip ini merujuk kepada peraturan yang meggerakkan tindakan dan gelagat pimpinan serta pihak bawahan dalam hubungan sesama mereka dan yang memberi kesan di luar organisasi. Hubungan yang berasaskan prinsip 'tidak memudaratkan' ini menghalang atau mengurangkan sifat atau tindakan negatif terhadap orang lain, dengki mendengki, mementingkan diri sendiri atau tindakan yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap seseorang. Ia juga merujuk kepada kesan produk atau perkhidmatan terhadap pengguna dan alam sekitar.

Prinsip ini bersifat universal dan boleh dipraktikkan dalam semua aspek dan dimensi kehidpan manusia. Ia bukan sahaja melarang tindakan atau sikap yang memudaratkan orang lain tetapi juga memudaratkan diri sendiri. Apabila seseroang atau satu organisasi itu berusaha untuk tidak memudaratkan diri sendiri atau orang lain kehiudpan dan kegiatanya menjadi seimbang, keberkatan ilahi dan kecemerlangan dalam pencapaian matlamat perniagaan dapat di perolehi.

Dalam konteks pengeluaran dan perkhidmatan pengamatan prinsip 'tidak memudaratkan' ini akan memastikan bahawa sesebuah oraganisasi perniagaan atau syarikat itu tidak terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan perkembangan mental, emosi, spiritual dan fizikal masyarakat dan individu. Aspek pemeliharaan alam sekitar juga akan diberi penekanan yang sewajarnya. Pengguna akan dapat kualiti produk dan perkhidmatan yang dikehendaki.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak mudarat dan tidak memudaratkan"

Ini bersesuaian dengan tujuan Syariat Islam diturunkan untuk memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala perkara yang memelihara mana-mana perkara asas ini digalakkan (masa'lih) dan segala yang boleh memberi kesan negatif kepada salah satu daripada kelima-lima ini dilarang (mafa'sid).

Oleh itu Islam menekankan aspek kualiti dalam bentuknya yang menyeluruh. Prinsip 'tidak memudaratkan' akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

Dalam aspek pengurusan organisasi korporat prinsip ini sekiranya diserapkan di semua pringkat organisasi akan menjadi faktor motivaasi yang mendorong anggota-anggotanya untuk terlibat secara bersungguh-sungguh dalam menignkatakan produktiviti dan kualiti. Peter Drucker dalam buku beliau 'Managemant: Tasks, Responsibilities, Practices' telah menekankan bahawa profesionalisme dalam perniagaan menuntut supaya dipraktikkan 'Principle of nonmaleficence' atau 'do no harm'. Atas prinsip ini beliau membuat kesimpulan bahawa terdapat ramai eksekutif yang tidak bertindak secara profesional dalam kegiatan perniagaan mereka.

Pembentukan budaya korporat yang sihat akan terjejas sekiranya prinsip 'tidak memudaratkan' atau 'do no harm' tidak diamalkan.
Dalam menjalankan kegiatan perniagaan seseorang usahawan muslim itu seharusnya memastikan bahawa peraturan-peraturan berikut dipatuhi sesuai dengan prinsip tidak memudaratkan:

Niat Yang Betul
Seseorang usahawan muslim harus memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai tujuan yang telah disebut diatas dan agar dia mendapat keredhaan Allah s.w.t. dalam segala aspek kehidupannya.
Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud:
`sesungguhnya amal itu bermula dengan niat'

Al-Adl Wal Ihsan
Salah satu daripada etika penting dalam perniagaan ialah melaksanakan `Al-Adl Wal Ihsan' atau keadilan dan ihsan.

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Qur'an:
`sesungguhnya Allah menyuruh melakukan keadilan dan berbuat kebajikan serta memberi karib kerabat, dan melarang berbuat yang keji dan yang mungkar dan kezaliman. Dia mengajarkan kepadamu agar kamu mendapat peringatan'(surah an-nahl, ayat 90).

Ada beberapa etika penting yang dapat kita perolehi daripada ayat diatas:

1. Kita disuruh melakukan keadilan
2. Kita disuruh melakukan kebajikan
3. Kita disuruh memberi sadaqah
4. Kita dilarang membuat perkara yang keji dan mungkar
5. Kita dilarang membuat kezaliman
Oleh itu dalam kegiatan perniagaan kita harus melaksanakan keadilan, kebajikan, memberi sadaqah, serta tidak melakukan yang keji, mungkar atau menzalimi diri kita atau orang lain.

Keadilan Dalam Perniagaan
Keadilan bererti meletakkan sesuatu ditempatnya yang betul. Dalam konteks ini implikasinya ialah membuat tindakan atau keputusan sebagaimana yang dikehendaki oleh syari'at Islam.

Oleh itu keadilan dalam konteks perniagaan memberi implikasi berikut:

1. Amanah Dan Benar Dalam Urusan Perniagaan
Tindakan dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang samada pembeli atau pengusaha mendapat haknya. Penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.

Dengan sifat ini usahawan akan mendapat untung yang sewajarnya dan pembeli akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang dibayar.
Rasulullah telah bersabda:
`penipuan membawa kepada neraka'

Oleh itu sebarang bentuk penipuan adalah haram.
Pada suatu hari Rasulullah telah berjumpa dengan seorang penjual gandum. Baginda telah memasukkan tangannya kedalam dan mendapati gandum dibawah basah. Baginda telah menegur penjual itu kerana tidak meletakkan gandum yang basah itu diatas supaya pembeli dapat melihatnya.

Baginda kemudiannya telah bersabda:
`barangsiapa yang menipu tidak termasuk dalam golongannya'

Baginda juga telah bersabda:
`Pedagang yang benar akan dibangkitkan pada hari akhirat beserta orang-orang yang benar dan para syuhada'
Surah Al-Mutaffifin

Amatlah jelas sekali pandangan Islam terhadap etika perniagaan apabila kita mengkaji ayat-ayat alquran yang di turunkan sebagai pertunjuk kepada manusia. Selain daripada banyak ayat-ayat dalam alquran yang menggariskan prinsip-prinsip dan etika perniagaan terdapat satu surah dalam alquran yang di beri nama `almutaffifin' yang memerlukan satu penelitian yang mendalam.
Almutaffifin Bermakna Orang Yang Curang.

`Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang(curang dalam menakar dan menimbang')
Iaitu orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta di penuhi
Dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi
Tidakkah orang-orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka akan di bangkitkan
Pada suatu hari yang besar
Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam sijjin

Dalam ayat 1-7 surah al mutaffifin, terdapat beberapa pengajaran:

1. Allah menghina orang yang menipu atau menzalimi orang lain dalam perniagaan
2. Definasi orang yang menipu dalam surah ini ialah orang yang apabila melibatkan haknya dia meminta semuanya mengikut tempoh yang di tetapkan tanpa tangguh, tetapi apabila ia berkaitan dengan hak orang lain dia memberi kurang daripada sepatutnya
3. Allah mengaitkan perniagaan ini dengan akauntabiliti dan tanggungjawab kepada Allah swt di hari akhirat nanti
4. Orang yang yakin pada hari akhirat dan pembalasan tidak AKAN MENIPU dan berlaku zalim dalam perniagaan
5. Orang yang menipu dan zalim dalam perniagaan akan menerima siksaan yang berat daripada Allah swt di akhirat nanti.

MENYOROK BARANG DIHARAMKAN

Termasuk dalam sifat amanah dan benar ialah tidak menyorok barang. Dalam hadis Rasulullah:

`sesiapa yang menyorok barang dia berdosa'.

Menyorok barang adalah berbahaya kepada masyarakat dan negara kerana ia menyebabkan:

1. Kekurangan barang yang dikehendaki oleh masyarakat.
2. Menyebabkan harga akan meningkat dan tekanan terhadap kadar inflasi.

KAEDAH PEMASARAN YANG BERETIKA

Adalah selari dengan konsep amanah dan benar dalam perniagaan bagi seseorang usahawan untuk memastikan usaha untuk memasarkan barangan atau perkhidmatan dibuat dengan betul dan tidak bercanggah dengan etika Islam.
Seseorang usahawan, umpamanya harus memastikan bahawa sebarang bentuk pengiklanan atau promosi benar-benar mencerminkan kualiti dan kandungan barangan atau perkhidmatan agar seseorang pembeli itu tidak merasakan bahawa ianya ditipu.
Setiap penjual mahukan barang yang dijual membawa keuntungan yang banyak dan berlipat ganda, maka ia akan berusaha sedaya upaya mempengaruhi pembeli supaya tertarik dengan barang yang dijual.

Kaedah pemasaran yang beretika dalam Islam juga menuntut agar menggunakan wanita dalam media cetak dan elektronik sebagai bahan pelaris atau untuk menarik masyarakat membelinya adalah di larang sama sekali. Kaedah ini akan merosakkan jiwa dan akhlak remaja khususnya dan meningkatkan gejala-gejala sosial dalam masyarakat.
Kaedah Fiqh yang berbunyi `Menutup pintu-pintu kerosakkan' haruslah di jadikan panduan.

TIDAK MENGURANGKAN TIMBANGAN

Usahawan muslim harus memastikan bahawa setiap timbangan haruslah dilakukan dengan adil dan tanpa penipuan. Kita haruslah memberikan pengguna hak mereka sejajar dengan harga yang mereka bayar;

`celakalah bagi orang-orang yang suka mengurangi takaran. Iaitu orang-orang yang kalau menerima takaran dari orang lain selalu meminta yang penuh (cukup dan tidak kurang sedikitpun), tetapi kalau menakarkan untuk orang lain, pasti dikurangi. Apakah orang-orang itu tidak mengira (menyakini) bahawa mereka itu pasti akan dibangkitkan dari kuburnya, yakni pada suatu hari yang penuh pancaroba' (surah al-mutaffifin : 1 - 5).

GHARAR(3)

Oleh kerana terlampau ghairah untuk mendapatkan keuntungan maka pembeli sering melakukan `gharar' iaitu dengan mensifatkan barang yang dijual dengan sifat yang berlainan dari yang sebenar.

Allah Telah Berfirman:

`Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah, kecuali dengan perniagaan yang dilakukan suka sama suka diantara kamu (surah an-nisa', ayat 26).

2. Tidak Terlibat Dengan Amalan Riba
Seseorang usahawan muslim seharusnya membebaskan diri dari riba dengan segala daya yang mungkin samada dalam pembiayaan atau pelaburan. Memang tidak dinafikan perkara ini bukanlah mudah dan kita terpaksa membuat pemilihan dari sumber-sumber pembiayaan yang ada berdasarkan kriteria tertentu termasuklah kos yang akan ditanggung.
Di Malaysia sumber-sumber pembiayaan yang bebas dari riba semakin meluas. Usaha perlu dibuat oleh usahawan untuk mengenalpasti sumber-sumber ini dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin.

(3) Mansor Mahsin, 'Undang-undang Perdagangan Dalam Islam'
Pembiayaan secara Islam adalah dalam bentuk-bentuk berikut:

1. Pembiayaan projek
a. Mudharabah
b. Musyarakah

2. Pembiayaan memperolehi aset
a. Mudharabah
b. Musyarakah
c. Bai'bithaman ajil
d. Ijarah
e. Bai' al-ta'jiri
3. Pembiayaan perdagangan
4. Gadaian atau ar-Rahn
5. Jualan salam
BIMB menyediakan kebanyakkan daripada pembiayaan-pembiayaan ini untuk usahawan Islam dan bukan Islam. Riba adalah amalan yang dikutuk oleh Allah. Ia di haramkan oleh Allah dalam empat peringkat. Peringkat yang terakhir adalah seperti berikut:

`Wahai orang-orang yang beriman! Taqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa dari riba itu, jikalau benar-benar kamu orang-orang yang beriman . Tetapi jika tidak kamu kerjakan begitu, maka terimalah satu pernyataan perang dari Allah dan rasulnya. Tetapi jika kamu bertaubat, maka bolehlah kamu ambil pokok harta kamu; tidak kamu dianiaya dan tidak pula kamu menganiaya'(surah al-baqarah, ayat 278-279)

3. Tidak Menzalimi Pekerja
Salah satu daripada aspek yang penting dalam keusahawanan ialah menguruskan manusia agar mereka mereka dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran. Untuk mendapatkan komitmen dan rasa bertanggungjawaban serta partisipasi daripada pekerja kita untuk mrncapai matlamat ini bukanlah satu yang payah. Yang penting ialah menjaga hubungan yang baik dengan mereka dan menjaga kebajikan mereka.

Sekiranya kita tidak menjaga kebajikan mereka tetapi kita memaksa mereka memberikan komitmen terhadap kualiti dan produktiviti maka kita menzalimi mereka. Apabila pekerja mereka merasakan mereka dizalimi maka kita akan dapati pekerja mereka yang berpengalaman akan mulai mencari jalan keluar dan berhenti kerja.

Bagaimanakah cara supaya kita tidak menzalimi pekerja kita?

a. Memberikan gaji yang berpatutan sesuai dengan produktiviti dan keuntungan syarikat. Ia juga seharusnya sesuai dengan kos hidup setempat. Kadar inflasi seharusnya diambil kira dalam membuat perubahan yang sesuai terhadap gaji pekerja.

b. Membuat sesuatu keputusan dengan mengambil kira pandangan mereka. Pengurusan partisipasi atau participation management adalah pengurusan yang melibatkan keseluruhan pekerja. Sesebuah firma atau kilang yang besar seharusnya memikirkan untuk mewujudkan qcc(quality control circle) atau kumpulan pengawasan kualiti yang melibatkan pandangan semua pekerja. Sebagai seorang pekerja yang diberikan sesuatu tugas yang spesifik sudah tentu mereka berhadapan dengan masalah dan keperluan yang tersendiri. Seseorang usahawan sudah tentu tidak mengetahui setiap perkara yang dilakukan oleh pekerjanya walaupun pernah terlibat dalam kerja tersebut kerana perubahan-perubahan dan suasana-suasana baru.

c. Mewujudkan suasana kerja yang stabil, harmoni, teratur, bersih dan selamat.
Ini amat perlu agar setiap pekerja merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada satu pasukan dan tidak timbul perselisihan atau pergaduhan sesama mereka. Ini untuk mengelakkan daripada menurunknya semangat dan morale pekerja untuk bekerja.
keselamatan dalam bekerja adalah amat penting. Ciri-ciri keselamatan haruslah diambil kira walaupun ini bermakna kos pengeluaran akan meningkat.

d. Memberikan latihan dan pendidikan yang sesuai dengan usaha untuk membangunkan personaliti yang seimbang ditempat dia bekerja dan dirumahnya.

4. Tidak mengeluarkan produk atau menyediakan perkhidmatan yang haram, rendah kualiti atau bertentangan dengan tujuan syari'at.

`wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang bagi kamu'(al-baqarah, ayat 168)

`wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik yang telah kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya(al-baqarah, ayat 172)

Sebagaimana yang telah disebut, tujuan syari'at ialah untuk memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala perkara yang boleh memelihara aspek-aspek ini disebut sebagai masa'lih. Kalau sebaliknya disebut sebagai mafa'sid dan merosakkan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

5. Kualiti
Islam sangat menekankan kualiti sebagaimana yang disebut dalam ayat-ayat diatas dan tujuan syari'at.

Dalam ayat yang lain, al-Qur'an sekali lagi menegaskan bahawa yang lebih utama dalam hidup seseorang insan ialah mengutamakan amalan atau pekerjaan yang lebih berkualiti sebagaimana yang tertera dalam surah al-mulk, ayat 2

`dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya...'

Produk yang tidak berkualiti boleh menjejas usaha membangunkan masyarakat dari sudut mental, moral, dan kesihatan. Generasi baru akan menghadapi banyak masalah termasuk anak-anak kita nanti.

Kita tidak mahu masyarakat yang berpenyakit dari semua sudut.
Masalah keracunan makanan, penyakit kanser, etc adalah berpunca daripada bahan yang tidak berkualiti.

Tindakan undang-undang akan dihadapkan kepada seseorang usahawan sekiranya ini berlaku dan akan merugikan pihak usahawan sendiri.
Diharamkan arak dan judi

`mereka itu bertanya kepada engkau dari hal arak dan judi. Katakanlah: pada keduanya itu dosa besar dan beberapa manafa'at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manafa'atnya.'(surah al-baqarah, ayat 219)

Termasuk yang diharamkan ialah menggunakan input-input yang diharamkan seperti diatas dan dibawah ini untuk mengeluarkan sesuatu produk yang halal.(al-ma'idah 1, 3)

6. Pengguna yang Kritikal dan Aktif
Sebagai seorang usahawan kita harus faham bahawa masyarakat pengguna kita bukanlah masyarakat yang pasik tetapi kritikal. Dengan adanya persatuan-persatuan pengguna yang mempunyai matlamat menjaga hak-hak pengguna, kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan produk kita bagi mengelakkan kita daripada mengalami kerugian kerana pengguna enggan membeli produk kita.

7. Memenuhi Kontrak Yang Dibuat
Adalah bertentangan dengan prinsip Islam sekiranya seseorang usahawan itu membuat sesuatu yang dikira sebagai melanggar kontrak yang telah dibuat dengan pihak lain.
`Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji dan janganlah kamu rosakkan sumpah kamu sesudah kukuhnya, padahal kamu telah menjadikan Allah jadi jaminan bagimu' (surah an-nahl, ayat 91)
`hai orang-orang yang beriman, tepatilah segala janjimu'(surah al-ma'idah, ayat 1)

8. Tidak melupakan ibadat-ibadat lain dalam keusahawanan.
walaupun Islam menganggap keusahawanan merupakan satu ibadat dalam konteksnya yang luas dan orang yang terlibat akan mendapat balasan yang baik sekiranya seseorang usahawan itu mempunyai niat yang baik dan membuatnya berdasarkan etika Islam namun ini tidak bermakna dia boleh meninggalkan ibadat-ibadat khusus yang diwajibkan. Hendaklah kita tunaikan ibadat-ibadat ini bila tiba waktunya walaupun kita terpaksa meninggalkan apa sahaja kegiatan yang kita sedang lakukan.

(i) Sembahyang
`Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseru untuk sembahyang pada hari jum'at, maka hendaklah kamu pergi kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah berjual beli. Itulah yang terlebih baik bagimu, jika kamu mengetahui'(surah al-jumu'ah, ayat 9)

Cari rezeki selepas ditunaikan sembahyang
`maka apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu berjaya'(surah al-jumu'ah, ayat 10)

(ii) Zakat Perniagaan
Adalah menjadi kewajipan bagi seseorang usahawan untuk melaksanakan kewajipan zakat perniagaan. Kajian menunjukkan ramai yang telah mengabaikan kewajipan ini. ia merangkumi segala bentuk perniagaan dan pelaburan yang dihalalkan oleh syari'at Islam, (yang bebas daripada riba dan produk serta perkhidmatan yang halal)

`Dirikanlah sembahyang dan bayarkanlah zakat, dan apa-apa yang kamu usahakan diantara kebaikan untuk dirimu(surah al-baqarah: ayat 110)

`Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian rezki yang kami anugerahkan kepadamu, sebelum tiba hari yang tak ada jual beli pada hari itu, tak ada persahabatan dan tak ada pertolongan'(surah al-baqarah, ayat 254)

9.Kontrak Yang Jelas Dan Sah
Kontrak yang tidak jelas boleh menimbulkan ketidakadilan kepada satu pihak. Ini akan mengakibatkan permusuhan diantara pihak yang terlibat. Oleh kerana Islam mahu melahirkan masyarakat yang stabil ia menekankan agar sesuatu kontrak itu dibuat dengan syarat dan rukun yang jelas.
Sesuatu kontrak itu sah sekiranya ia memenuhi perkara-perkara berikut:

a. Sempurna rukun dan syarat
b. Tidak mengandungi perkara yang ditegah oleh syarak
Rukun secara umumnya:
a. Penjual
b. Pembeli
c. Barang yang dijual
d. Harga

Syarat (contohnya)
a. Kedua-dua pihak sempurna akal, cukup umur, pintar. Yang tidak memenuhi syarat ini, bapa atau penjaga boleh menguruskannya.
b. Orang yang tidak disekat dari menguruskan muamalat termasuk orang yang muflis.
c. Tidak dipaksa oleh mana-mana pihak.
d. Jelas isi kandungan kontrak agar tidak menimbulkan keraguan dan pertelingkahan.
e. Syarat-syarat lain boleh ditambah asalkan tidak bertentangan dengan syarak.

10. Segala Bentuk Perjudiaan di Larang
segala bentuk keusahawanan haruslah bebas daripada unsur perjudian.
`hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi berhala dan bertenung, adalah pekerjaan keji dari perbuatan syaitan'(surah al-ma'idah, ayat 90)

11. Harga yang Adil
Peniaga dan usahawan haruslah menetapkan harga yang adil dan berpatutan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan untuk pembeli.
Harga haruslah mencerminkan interaksi normal antara permintaan dan penawaran. Ia tidak disebabkan oleh sesuatu yang diwujudkan dengan sengaja seperti keadaan monopoli atau beberapa pengusaha atau pembeli yang bergabung untuk meningkatkan harga, atau disebabkan oleh spekulasi.
Harga yang tidak adil akan menyebabkan golongan yang tidak berkemampuan tidak dapat memiliki barangan keperluan mereka. Ia juga akan menyebabkan inflasi dan memberikan kesan terhadap daya saingan barangan tempatan.
Menaikkan harga tanpa sebab yang manasabah semata-mata mahu menambahkan keuntungan akan memberi kesan negatif terhadap jualan barangan jangka panjang.
Usaha perlu dibuat oleh pengusaha muslim untuk membantu kerajaan menstabilkan harga. Ini akan mebantu menarik pelabur luar melabur Di Malaysia.

BAGAIMANA MELAKSANAKAN ETIKA PERNIAGAAN?

Masalah sekarang ialah masalah perlaksanaan. Ada tiga cara untuk memastikan perlaksanaan.

a. Peniaga atau pengusaha
b. Pengguna atau pembeli
c. Peranan kerajaan

I. Peniaga atau pengusaha harus mempunyai ilmu pengetahuan mengenai etika perniagaan Islam dan ini menuntut agar mereka sentiasa membaca dan memahami apa yang di gariskan oleh syariat Islam

II. Mereka harus yakin bahawa mereka akan di hadapkan kepada Allah swt di hari akhirat nanti dan akan timbul perasaan takut untuk melanggar perintah Allah swt. Oleh itu mereka harus melaksanakan dan mengamalkan apa yang di tentukan oleh Islam. Tanpa keyakinan ini, kita akan lihat berlakunya aktiviti-aktiviti perniagaan yang bertentangan dengan syariat Islam dan peniaga-peniaga dan pengusaha akan mencari kaedah yang terbaik untuk mengelakkan diri daripada melaksanakan etika dan prinsip perniagaan Islam terutamanya apabila ia melibatkan kos, tenaga dan masa

III. Pengguna harus memahami etika perniagaan Islam dan memastikan agar peniaga dan pengusaha mengamalkannya. Mereka harus bertindak secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka sebagai pengguna dan memberikan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam memantau perlaksanaan etika perniagaan sekiranya terdapat penyelewengan-penyelewengan.

IV. Peranan kerajaan adalah seperti berikut:

- menyediakan garis panduan yang jelas den lengkap mengenai etika perniagaan untuk di edarkan kepada peniaga dan pengusaha-pengusaha
- memastikan bahawa pengusaha dan peniaga memahami garis panduan tersebut dan melaksanakannya
- membentuk agensi atau badan untuk memantau perlaksanaan garis panduan tersebut dengan adil dan saksama tanpa sebarang unsur diskriminasi
- menyediakan ruang bagi orang ramai untuk menyuarakan bantahan dan memberikan maklumat sekiranya terdapat penyelewengan.

KESIMPULAN

Diharapkan kegiatan keusahawanan bermula dari niat kita,falsafah, matlamat, hubungan dengan pihak pekerja,pengeluaran,pembiayaan,perancangan dan pengawalan, pengiklanan dan sebagainya adalah berasaskan Islam. Ini sesuai dengan ayat al-Qur'an:

`Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya) kecualli dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu' (surah an-nisa' ayat 29)

`Wahai orang-orang yang beriman masuklah dalam Islam keseluruhannya'
Sesunggunya kita semua akhirnya akan bertanggungjawab depan Allah SWT di hari Akhirat nant dan akan menerima balasan yang setimpal dengan amal perbuatan kita di dunia ini.

`Maha Suci Allah yang di tanganNya lah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun' (Surah Al Mulk, 1-2)
WALLAHUA' LAM.

Pemuda PAS bantah kaitkan peristiwa Memali dengan ajaran sesat

Izwan Abdul Halim. izwan@harakah.net.my
Mon | Oct 26, 09 | 6:27:41 pm MYT

ALOR SETAR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah mengecam penyiaran artikel oleh akhbar Kosmo! yang mengaitkan peristiwa Memali dengan ajaran sesat.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, artikel tersebut merupakan satu tuduhan yang berniat jahat dan cuba mengeruhkan ketenangan para penduduk Memali khususnya dan para pendokong PAS amnya.

Tegas beliau, penulis artikel berkenaan jelas gagal memahami sejarah peristiwa itu apabila menyamakannya dengan ajaran sesat.

"Peristiwa Memali adalah satu perjuangan rakyat menolak undang-undang zalim iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ingin kami Pemuda PAS Kedah tegaskan ianya tidak langsung boleh disamakan atau sama sekali tidak berkait dengan ajaran sesat.

"Kosmo! dengan sengaja telah membangkitkan fitnah yang sedang tidur! Secara tidak langsung Kosmo! bukan sahaja telah memfitnah Memali tetapi juga kepada PAS yang sehingga kini komited menentang ISA.

"Cukuplah dengan derita yang ditanggung sekian lama oleh ahli keluarga mangsa terbabit, tidak perlu lagi dibangkit dan mungkin menimbulkan tekanan kepada mereka," ujar Ahmad kepada Harakahdaily, sebentar tadi.

ImageMenurut beliau, para pejuang Memali yang terkorban dalam peristiwa 19 November 1985 itu bukan sahaja diiktiraf syahid oleh anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Almarhum Tuan Guru Yahya Joned, malah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu�adzam Shah juga pernah mencemar duli menyiram air mawar di pusara para syuhada.

Malah kata Ahmad, isu Memali jelas satu penganiayaan apabila Kerajaan Malaysia akhirnya bersetuju membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa Memali melalui rundingan diluar mahkamah selain tidak pernah ada mana-mana pihak berkuasa agama yang menyatakan bahawa As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya sebagai sesat.

Untuk itu, beliau menuntut Kosmo! dan wartawan serta editor berkenaan tidak terus bermain api dengan segera membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sementara itu di Baling, para penduduk Memali bersama-sama Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling telah mengadakan himpunan untuk menghantar laporan polis sebagai membantah penyiaran artikel tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling, jam 3 petang tadi.

Kosmo! dalam cetakannya hari ini di mukasurat 11 ruangan Negara! kolum Di Sebalik Berita tulisan Zulkifli Manzor berhubung ajaran sesat di negara ini telah turut sama mengaitkannya dengan peristiwa Memali._ harakahdaily,net

Nizar mohon Sultan Perak tangguh sidang

IPOH – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin membuat permohonan peribadi melalui media kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya menangguhkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, 28 Oktober ini.

Nizar berkata, permohonan dibuat atas alasan Datuk R Ganesan telah melanggar Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, perkara 36 (a) (5) kerana didapati menyamar sebagai Speaker DUN.

“Atas kedaulatan undang-undang, maka kita tidak mahu dewan yang mulia ini dipengerusikan oleh seorang pembohong, itulah sebenarnya mahu dikhabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mereka faham bahawa Ganesan ini pengkhianat, persidangan yang beliau panggil itu adalah sidang tidak sah dan kami (Pakatan Rakyat) mahu sidang ini ditangguhkan,” katanya kepada pemberita, di Pejabat Pas negeri, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau juga mengecam tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang sejak dari rampasan kuasa tempoh hari yang didakwanya dalang permainan politik Perak.

Nizar mendakwa, Dr Abdul Rahman juga telah mengarahkan Ganesan dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Khadir menukarkan bentara Dewan dengan samseng UMNO seramai 15 orang.

“Sumber ini kami peroleh dari orang dalaman mereka juga dan kami mengharap sangat supaya pihak polis memastikan keselamatan kami wakil semasa sidang DUN nanti.”

“Hakikatnya Zambry tidak ada kuasa sebaliknya beliau hanyalah boneka kepada Setiausaha Kerajaan Negeri termasuklah Ganesan,” katanya._sinarharian

"PR yakin kerajaan tidak ambil peluang"

SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) yakin kerajaan tidak mengambil peluang ketika proses mahkamah untuk mengenakan tindakan atau penalti terhadap wakil rakyat gabungan pembangkang itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad berkata, beliau mengharapkan kerajaan mengizinkan proses mahkamah berjalan dengan adil dan berintegriti.

“Biar Mahkamah sendiri yang memutuskannya,” katanya.

Menurutnya, Pakatan berharap kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak seperti sesetengah kerajaan negara lain yang mengamalkan sistem autokrasi.

“Rakyat tidak boleh terima jika kerajaan menggunakan cara tersebut bagi melenyapkan pembangkang. Kes yang melibatkan mereka sedang berjalan di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur. _sinarharian

“Pakatan bersedia menghadapinya... peguam kami berhujah dan mengendalikan kes dengan baik di mahkamah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Kelmarin, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melaporkan kemungkinan sepuluh lagi pilihan raya kecil bakal diadakan berikutan lapan Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan, didakwa atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.

Dua daripada mereka yang terbabit perhimpunan itu ialah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah; Bendahari Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli serta beberapa pemimpin lagi.

Berikutan itu, Pemimpin terbabit bakal menerima nasib seperti yang menimpa Tian Chua yang didenda RM3,000 serta 6 bulan penjara atas kesalahan menggigit seorang anggota polis ketika dalam perarakan ke Parlimen dua tahun lalu.

Pas Terengganu dakwa ada ‘pihak ketiga’

KUALA TERENGGANU – Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat tidak menolak kemungkinan ada ‘pihak ketiga’ yang cuba melaga-lagakan saf kepimpinan parti itu dengan mempengaruhi dan menimbulkan semula isu pemimpin Pas pro-UMNO.

Beliau percaya, keadaan itu telah menyebabkan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap wujudnya sikap seperti itu dalam kalangan segelintir pemimpin dalam parti itu.

“Kita lawan UMNO sudah lama dan tidak timbul lagi soal Kerajaan Perpaduan, tapi saya percaya perkara ini berlaku kerana rasa tidak puas hati sesetengah pihak yang tidak ‘lekat’ jawatan ketika bertanding sehingga isu ini timbul semula.

“Keadaan ini ditambah pula dengan kekalahan Pas dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Bagi menangani perkara itu, Satiful meminta kaedah lain difikirkan bagi menggantikan Muktamar Khas dan bersetuju dengan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa untuk mendapatkan penjelasan terperinci melalui Majlis Syura.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila isu Kerajaan Perpaduan dan pro-UMNO dibangkitkan semula.

“Sudah lama kita berlawan dengan UMNO dan sepatutnya tidak timbul isu ini (pro-UMNO dan kerajaan perpaduan). Isu kerajaan perpaduan adalah untuk melaga-lagakan. Ia tamat dan sudah pun diputuskan dalam dua Muktamar Pas sebelum ini bahawa kita bersama Pakatan Rakyat (PR),” kataya.

Bagaimanapun, Satiful menyambut baik cadangan Mursyidul Am itu kerana menyifatkan Pas adalah parti terbuka.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan pemimpin atasan kerap berjumpa untuk melancarkan kepimpinan bagi mengelak spekulasi yang boleh menjejaskan parti._

sinarharian

Azizan tidak minat jawatan Presiden

PADANG SERAI - Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak lagi berminat jika ditawarkan jawatan tertinggi parti setelah mengambil kira faktor usia dan kesihatan.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, jawatan itu wajar diserahkan kepada pelapis yang lebih muda kerana mempunyai kekuatan dan semangat yang lebih tinggi.

Beliau berkata, eranya untuk memegang jawatan itu sudah berakhir dan kini lebih berminat menumpukan perhatian kepada pengurusan parti peringkat negeri.

“Tak payah nak fikir soal jawatan parti peringkat tertinggi. Tak payahlah nak bayangkan jawatan Presiden atau Timbalan Presiden Pas. Saya dah tak minat kerana dah tua, la ni dah masuk 65 tahun.

“Biar saya tumpu untuk memperkemas dan memperkasakan parti peringkat negeri Kedah. Itu pun dah mencukupi dengan usia saya sekarang ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas penutupan majlis Gotong-royong Perdana Daerah Kulim di Taman Mahsuri di sini, semalam.

Azizan diminta mengulas tulisan kolumnis Sinar Harian, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang menyebut beliau adalah calon sesuai jika berlaku kekosongan jawatan Presiden parti kerana bersikap lebih terbuka dan mampu menguruskan parti peringkat negeri dengan baik dan cemerlang dalam analisis kekalahan Pas di Bagan Pinang.

Tulisan sama juga mencetuskan cadangan Muktamar Khas (EGM) oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk membersihkan parti itu daripada kumpulan pro- Kerajaan Perpaduan.

Antara pemimpin parti itu yang disebut bermasalah dan terlibat dengan usaha 'berbaik-baik' dengan UMNO ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustaffa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Azizan berkata, jika berminat menduduki jawatan tertinggi seperti Presiden atau Timbalan, beliau sudah melakukannya dulu lagi ketika masih muda dan berada dalam barisan kepimpinan ketika itu.

“Saya menjadi Naib Presiden Pas pada 2004 tetapi melepaskan jawatan dengan tidak menawarkan diri dicalonkan semula setelah menjalani pembedahan jantung.

“Jika mempunyai cita-cita tinggi dalam parti, sudah pasti saya boleh meneruskan agenda itu pada waktu berkenaan,” katanya.

Mengenai kemelut Pas, beliau berkata, tiada apa-apa masalah yang berlaku dalam parti itu sekarang ini kerana ia lebih kepada perbezaan pendapat antara pemimpin tertentu.

“Bukan ada masalah apa pun sehingga memerlukan kepada EGM. Ini berbeza dengan MCA yang ada masalah kepimpinan atau UMNO yang berusaha memperkukuhkan kedudukan parti selepas pilihan raya umum,” katanya.

Ditanya sama ada boleh menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam Pas, Azizan berkata, tidak perlu kerana tiada apa pun nak diselesaikan. _

sinarharian