M Faqih
KOTA BHARU, 28 Okt: Kerajaan negeri bersetuju atas desakan Adun bagi menaikkan gaji mereka daripada RM3,600 kepada RM4,600 selepas mengambil kira kos kehidupan semakin meningkat sekarang.
Ini kerana di negeri-negeri lain kenaikan kadar elaun Adun sudah dilakukan sejak 2004 lagi iaitu selaras dengan pertambahan gaji anggota parlimen.
Selain Adun, anggota Exco juga menikmati kenaikan sebanyak RM700 berbanding sekarang sebanyak RM5,400.
Manakala Timbalan Menteri Besar mendapat kenaikan sebanyak RM2,200 berbanding RM6,600 sekarang dan Menteri Besar pula dinaikan sebanyak RM2,600 menjadikan RM12,800.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, gaji baru Menteri Besar Kelantan masih rendah berbanding Menteri Besar Terengganu sebanyak RM14,175.
"Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu terus mengekalkan gaji Menteri Besar Kelantan lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain,"katanya.
Tarikh kuatkuasa gaji baru itu bermula pada 1 April 2004.
Selain itu, kerajaan Kelantan juga mencetus idea baru apabila bersedia menerima wakil rakyat pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya ia tidak menyalahi peraturan.
Husam berkata, beliau sedia membincangkan cadangan melantik Adun pembangkang sebagai timbalan Exco sekiranya mendapat restu daripada Menteri Besar.
"Mungkin tiga daripada enam wakil rakyat pembangkang ada peluang menjadi timbalan Exco sekiranya perkara itu dibolehkan,"katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Saraan Adun (pindaan) 2009 pada persidangan Dun semalam.
Menurutnya, pelantikan timbalan kepada anggota Exco daripada Adun yang mempunyai kelayakan profesional dapat membantu kerajaan bagi merancang lebih banyak lagi program untuk manfaat rakyat.
"Ini satu keperluan dan bukan sekadar mengisi mereka ke jawatan yang baru. Mereka akan menerima elaun tetap bulanan sebanyak RM1,500 dan kuasa untuk menjalankan tugas.
"Mereka boleh melawat jabatan-jabatan kerajaan sebagai menggantikan Exco yang kesibukan dengan pelbagai tugasan lain," katanya.
Bagaimanapun Timbalan Exco tidak mempunyai kemudahan lain seperti kereta dan pejabat. Kelantan sekarang mempunyai 10 anggota Exco termasuk Timbalan Menteri Besar.
Sebelum ini kerajaan Kelantan mempunyai timbalan Exco, namun tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas.
Sebelum itu, Datuk Nozula Mat Diah (BN � Paloh) cuba mempertikaikan cadangan kerajaan negeri melantik timbalan Exco bagi membantu tugas-tugas anggota Exco.
Menurutnya, pelantikan itu bertujuan untuk memberi ruang lebih banyak lagi Adun di kalangan penyokong kerajaan mendapat elaun tambahan.
Abdul Fatah Harun (PAS � Bukit Tuku) pula mahu bukan seorang Adun yang dilantik sebagai timbalan kepada seorang anggota Exco bagi membolehkan tugas dilaksanakan dengan lebih berkesan. _ harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan