Sahabat Purnama

Rabu, 28 Oktober 2009

Pas tidak perlu lakukan gerakan pembersihan

SHAH ALAM: – Krisis dalaman yang berlaku dalam parti Pas perlu segera diselesaikan kerana ia bakal mengundang kegoyahan dalam parti itu, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ahmad Nizamudin.

Beliau berkata, kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu membuat satu gerakan pembersihan untuk memastikan kesemua pemimpin benar-benar tulus dalam perjuangan Pas.

“Tidak perlu gerakan pembersihan ini. Apa yang perlu adalah mencari kata putus bagi menyelesaikan segala krisis dalaman mereka.

“Apatah ia membabitkan pemimpin tertinggi Pas. Jadi apabila diadakan satu mesyuarat khas, segala permasalahan pasti akan cuba ditangani dengan baik.

“Kerana itulah satu mesyuarat khas diadakan esok (hari ini) dan saya berharap satu keputusan muktamad akan dapat dirumuskan dalam mesyuarat itu nanti,” katanya, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu penting untuk mengembalikan semangat kesemua pemimpin dalam parti itu.

“Pada pendapat saya jika gerakan pembersihan ini diteruskan juga ia bakal mengundang pelbagai spekulasi. Biarlah ia diselesaikan dengan cara baik dan lebih bertoleransi,” katanya.

Diminta mengulas mengenai Pas yang dikatakan semakin goyah ekoran krisis dalaman ini, Dr Ahmad berkata, parti itu akan tetap berdiri teguh selari dengan moto mereka ‘Pas For All’.

“Kita semua sedia maklum apa yang bakal dibahaskan di dalam mesyuarat itu melibatkan pemimpin atasan parti, jadi jika berlakunya sesuatu perkara yang tidak diingin oleh penyokong mereka, pasti menambahkan lagi masalah antara mereka.

“Mungkin ada juga yang beranggapan isu ini menjadi medan untuk mereka bertelagah dan menjadi punca akan kejatuhan empayar parti itu.

“Pas merupakan satu parti kukuh apatah lagi di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz yang mana beliau seorang yang sangat berpengaruh,” katanya._sinarharian

Tiada ulasan: