Salhan K Ahmad
Okt 20, 09 3:49pm
Analisis Pakatan Rakyat di Perak terus bersedia menghadapi pilihan raya mengejut peringkat negeri – seperti yang mereka tuntut – walaupun tidak sepenuhnya yakin BN berani mengadakannya dalam masa terdekat.
Desas-desus mengenai kemungkinan pilihan raya negeri dipanggil muncul semula susulan perkembangan terkini di negeri ini, antaranya sambutan besar sehingga 50,000 orang di program pelancaran 1Malaysia di Ipoh kelmarin.
Ia diperkuatkan lagi dengan semakan daftar pemilih baru peringkat Perak selama seminggu sehingga Isnin depan, selain kesediaan Pakatan Rakyat menyediakan manifesto baru untuk berdepan dengan pilihan raya mengejut.
Difahamkan, gabungan tiga parti pembangkang itu juga sedang menggiatkan jentera mereka.
Ura-ura lebih 20 ADUN BN sudah mengambil foto terbaru masing-masing menguatkan spekulasi negeri ini bakal menghadapi pilihan raya.
Satu sumber Pakatan Rakyat menyebut, masih tidak jelas tujuan foto itu diambil sama ada untuk dijadikan poster atau sebab-sebab lain.
Krisis politik terus berlarutan di Perak, antara yang penting perebutan jawatan menteri besar antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan penggantinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melalui proses mahkamah akan didengar awal bulan depan.
Sementara persidangan DUN untuk pembentangan belanjawan negeri bermula 28 Oktober di tengah-tengah pertikaian siapa Speaker yang sah – sama ada V Sivakumar atau penggantinya Datuk R Ganesan.
Walaupun mengalu-alukan pilihan raya negeri, Mohamad Nizar berkata, perdana menteri tidak seharusnya melihat kejayaan menganjurkan program 1Malaysia sebagai penanda aras sokongan rakyat Perak kepada BN.
"Kalau nak tengok populariti di satu program saja, kalau tengok (keputusan) Bagan Pinang saja tidak boleh kata (BN) boleh menang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
"Kita tahu rakyat masih menyokong Pakatan Rakyat."
BN bagaimanapun, tegasnya, masih perlu menghadapi rakyat untuk mendapatkan mandat sahih daripada rakyat.
"Kalau ia betul-betul yakin dengan persepsi itu, ia kena uji. Ia kena berani menghadap ke bawah duli Tuanku (Sultan Perak) dan mohon untuk adakan pilihan raya," kata ADUN Pasir Panjang.
Mohamad Nizar menambah, Pakatan Rakyat menjangka pilihan raya itu akan diadakan dan telah "lama bersedia" untuk menghadapinya. "Pakatan Rakyat sudah ada manifesto untuk pilihan raya ini," katanya, dengan menjelaskan ia disediakan sejak dua bulan lalu.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata BN mungkin akan memanggil pilihan raya berkenaan berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa tanda awal.
Katanya, beliau difahamkan wakil-wakil rakyat BN Perak telah menjalani satu sesi rakaman foto di sebuah kedai gambar di negeri itu, kira-kira dua bulan lalu.
"Secara tradisinya, apabila wakil rakyat diambil gambar seperti itu, pilihan raya akan diadakan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Gambar itu diambil lebih awal kerana ia perlu disunting bagi memastikan muka wakil-wakil rakyat BN tersebut kelihatan lebih menarik apabila dicetak pada bahan kempen, tambahnya.
Jelasnya lagi, DAP negeri membuat persediaan sejak tujuh bulan lalu dengan memberikan latihan berterusan.
Ngeh berkata, BN dipercayai akan mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan rakyat daripada perkembangan kes Mohamad Nizar-Zambry di Mahkamah Persekutuan, 5 November ini.
"Mereka boleh gunakan keputusan mahkamah untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa Zambry adalah menteri besar yang sah dan popular," katanya.
"Tetapi bajet negeri pula akan dibentangkan pada 28 Oktober (oleh Zambry). Jika mahkamah putuskan Nizar sebagai menteri besar yang sah, apa akan jadi dengan pembentangan bajet itu, adakah ia juga sah?"
Katanya, BN hanya akan memanggil pilihan raya jika keyakinan rakyat di negeri itu dilihat memihak kepada parti berkenaan.
"Setakat ini, situasi sekarang menunjukkan mereka akan meneruskan dengan cara sedia ada sehingga wujud keadaan lebih baik. Mereka mesti hendak wujudkan faktor feel good di kalangan rakyat dahulu," katanya.
Walaupun tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri, PKR masih belum pasti BN benar-benar ingin membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya semula.
Naib Presidennya Mustaffa Kamil Ayub berkata tanda-tanda bahawa pilihan raya baru akan diadakan kini masih belum jelas.
"Nak kata 'tidak lama lagi pun, tidak boleh juga', BN sendiri pun nampaknya tidak berapa yakin (untuk adakan pilihan raya)," katanya, yang juga bekas pengerusi PKR Perak, kepada Malaysiakini hari ini.
Seperti Mohamad Nizar, yang juga timbalan I pesuruhjaya PAS Perak, Mustaffa Kamil tidak yakin kempen 1Malaysia pada Ahad lalu sebagai petanda penting pilihan raya dengan menyifatkan ia satu "proses biasa".
Beliau juga tidak pasti sesi rakaman gambar wakil-wakil rakyat BN ke arah mengadakan satu pilihan raya baru.
"Saya fikir (foto) itu proses biasa, mereka perlu juga sentiasa bersiap sedia kerana kerajaan sedia ada masih tidak stabil dan sentiasa dicemuh oleh rakyat," jelasnya.
Beliau mengakui PKR sedang mempergiat latihan kepada jentera parti bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya, antaranya, ejen tempat mengundi. _malaysiakini bm
1 ulasan:
Pak Karamu menziarahi blog anda
Catat Ulasan