Sahabat Purnama

Rabu, 6 Januari 2010

Didakwa cuba rogol inspektor

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KLANG: Tindakan seorang kerani yang cuba merogol pegawai polis berpangkat inspektor pada Disember lalu mengundang padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Wan Abdul Hanif Wan Abdul Hisham, 30, dari Pelabuhan Klang di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu selepas mendengar jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya.

Dia yang kelihatan tenang dalam kandang tertuduh didakwa dengan sengaja cuba merogol wanita yang juga kenalannya berumur 28 tahun di sebuah hotel di Jalan Meru di sini pada jam 10 malam, 12 Disember lalu.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika disabit kesalahan. Selain itu, Wan Abdul Hanif mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada pegawai polis terbabit yang baru berkhidmat enam bulan sebagai inspektor di tempat dan waktu sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syuhada Alwi menawarkan jaminan RM15,000 kepada Wan Abdul Hanif bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta jumlah jaminan itu dikurangkan kerana perlu menanggung ibu bapa dan adiknya yang masih bersekolah.

Dia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa sudah lama mengenali mangsa.

Selepas mendengar rayuan itu, Hakim Datuk Anita Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari untuk sebutan melantik peguam._hmetro

Tiada ulasan: