Sahabat Purnama

Rabu, 6 Januari 2010

Pemandu, pembantu nyaris maut lori terbalik

GUA MUSANG – Seorang pemandu, Mohd Asif Ahmad,28, dan pembantunya seorang lelaki berketurunan India nyaris maut apabila lori membawa muatan makanan ayam dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Cameron Highlands terbalik di persimpangan lampu isyarat Gua Musang-Kota Bharu jam 2.15 petang semalam.

Mohd Asif berkata, ketika sampai berhampiran jambatan tidak jauh daripada persimpangan lampu isyarat, dia mula merasakan brek lori yang dipandunya tidak berfungsi dengan baik.

Menurutnya, ketika itu dia sedang mengekori sebuah lori dan cuba memperlahankan lorinya bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Sebelum ini brek tidak ada masalah, tetapi apabila sampai di selekoh sebelum jambatan, brek tidak berfungsi. Jadi, saya cuba jarakkan lori yang saya pandu dengan lori di hadapan.

“Ketika melalui jalan berhampiran lampu isyarat, saya cuba menekan brek, tapi tak dapat (brek tak berfungsi), jadi saya tukar gear kepada gear lebih rendah, tapi lori terus bergerak. Pada masa sama, saya cuba mengelak daripada melanggar kenderaan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian petang semalam.

Mohd Asif berkata, dia dia turut cuba memberi isyarat kepada kenderaan di hadapannya supaya menjarakkan kenderaan dengan memberikan hon beberapa kali sebelum terbalik.

Menurutnya, dia hanya mengalami luka kecil di tangan sementara rakannya yang mengalami kecederaan pada bahagian telinga setelah terjun daripada lori untuk menyelamatkan diri dibawa orang awam ke Hospital Daerah Gua Musang (HOGUM) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian petang semalam mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, pihak bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam dengan kekuatan sepuluh anggota untuk membantu mangsa._sinarharian

Tiada ulasan: