Sahabat Purnama

Isnin, 2 November 2009

PKR lancar kempen Keadilan untuk Tian Chua

KEPONG: Bagi mendapatkan sokongan moral dan menyelamatkan anggota Parlimennya, Angkatan Muda PKR melancarkan kempen Keadilan Untuk Tian Chua hari ini. Sebanyak 400 tandatangan berjaya dikumpul pada hari pertama kempen itu.

Kempen yang bermula jam 8.30 berjalan lancar tanpa sebarang gangguan kecuali dari pihak polis.

Kira-kira lapan anggota polis dari Balai Polis Jinjang menghalang penggunaan pembesar suara dan memeriksa kad pengenalan mereka yang hadir, lapor Selangor kini.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, Lee khai Loon berkata, kempen ini sebagai tanda sokongan kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang kini berdepan dengan hukuman penjara berikutan dakwaan mencederakan seorang anggota polis dalam satu perhimpunan di Bangunan Parlimen, dua tahun lalu.

"Hari ini adalah pelancaran untuk kita mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh Kuala Lumpur dan negeri Selangor,"katanya.

Turut hadir menyatakan sokongan untuk kempen ini adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Low Gwo Burne dan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Timbalan Ketua PKR cabang Batu, Md Noor Kamil Abd Samad.

Gwo Burne berharap kempen ini dapat membantu menegakkan keadilan untuk Ahli Parlimen tersebut.

"Saya harap kita akan dapat kumpulkan tandatangan sebanyak yang mungkin bagi menunjukkan sokongan kepada YB Tian Chua," katanya.

Selain kempen tandatangan pagi tadi, orang ramai turut digalakkan menyertai kelab penyokong Tian chua di http://wwww.justice4tian.co.cc/, memakai lencana 'Keadilan Untuk Tian Chua' serta menyebarkan video kejadian tersebut.

Tian Chua pada 22 Oktober lalu dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah mencederakan seorang anggota polis dengan cara menggigit lengannya, dua tahun lalu.

Hukuman itu menyebabkan Tian Chua berdepan dengan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerusi tersebut mengikut peruntukan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Tian Chua mungkin kehilangan jawatan sebagai ahli Parlimen memandangkan dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli Parlimen yang dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan dari jawatannya.

Peguam bela yang mewakili Tian Chua, Ranjit Singh dan Amer Hamzah Arshad bagaimanapun memohon penangguhan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi. _ harakahdaily.net

Tiada ulasan: