Sahabat Purnama

Isnin, 2 November 2009

Rakyat tidak yakin integriti tiga institusi utama

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal integriti tiga institusi utama dalam kerajaan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sistem kehakiman yang seringkali dipersoal rakyat.

Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap badan-badan penguatkuasaan negara hari ini amat berbeza dengan era 60-an dan 70-an yang mana pada era tersebut, tidak ada langsung isu pendakwaan terpilih dibangkitkan.

Namun ujarnya, bermula era 80-an sehingga kini rakyat mula mempunyai persepsi tidak baik terhadap tiga institusi berkenaan yang dilihat sering melakukan pendakwaan dan siasatan terpilih.

"Apakah sebabnya hari ini masih timbul masalah persepsi di kalangan masyarakat umum?" soanya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau juga berkata, isu integriti institusi-institusi penting itu bukan sahaja dipertikai pihak pembangkang seperti didakwa Barisan Nasional malah isu berkenaan turut diperkatakan oleh salah sebuah parti komponen dalam BN sendiri.

Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon sewaktu berucap di persidangan perwakilan nasional Gerakan ke-38 di ibu negara semalam menegaskan bahawa pemulihan segera keyakinan rakyat terhadap tiga institusi berkenaan amat perlu dilakukan.

ImageTegas Salahuddin, gesaan presiden Gerakan itu membuktikan tiga institusi yang dimaksudkan sememangnya mempunyai masalah yang perlu diatasi segera.

"Isu ini bukan sahaja dibawa oleh pihak kami (Pakatan Rakyat) seperti yang dituduh pihak tertentu. Tapi parti komponen dalam BN sendiri mahukan tiga institusi ini dipulihkan," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan kepada perdana menteri dalam sesi soal jawab lisan di dewan rakyat pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menjawab soalan berkenaan bagaimanapun menafikan wujudnya pendakwaan terpilih seperti yang didakwa.

Beliau sebaliknya berkata, Salahuddin tidak mempunyai hujah yang kukuh apabila membandingkan zaman sekarang dengan zaman 60-an.

Menurutnya juga, persepsi masyarakat banyak dipengaruhi oleh perbincangan seharian termasuk menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Integriti SPRM sebelum ini telah tercemar selepas kes kematian pembantu kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock ketika dalam siasatan SPRM di Shah Alam.

Datuk Seri Abdul Ghapur Saleh (BN-Kalabakan) pula bangun mencelah dengan mempersoal tindakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin kerana didakwa menyampaikan kuliah tanpa memiliki tauliah.

Nazri menjawab beliau tidak tahu mengenai kes itu dan beranggapan ianya di bawah kuasa kerajaan negeri._ harakahdaily.net

Tiada ulasan: