Sahabat Purnama

Isnin, 2 November 2009

Tangkapan Dr Asri, Jais tidak profesional

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin dianggap tidak profesional dan mengunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi melahirkan rasa kesal dengan tindakan Jais kerana menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap penceramah agama dan alim ulama semata - mata kerana mereka tidak memiliki tauliah.

"Saya difahamkan Dr. Mohd Asri ditangkap kerana menyampaikan kuliah tanpa memiliki tauliah. Alasan yang sama membuatkan saya juga hampir tertangkap ketika menyampaikan kuliah dhuha di Surau Ar Raafiq Kota Damansara pada satu ketika dahulu.

"Saya sangat kesal...sedang JAIS boleh menumpukan operasi membenteras aktiviti maksiat dan mungkar yang masih berleluasa di negeri Selangor,"jelasnya dalam laman blog peribadinya hari ini.

Tambahnya, jika soal tauliah menjadi alasan, maka sepatutnya pihak Jais boleh memanggil para penceramah agama ini untuk sessi temuduga bagi menganugerahkan tauliah jika itu merupakan satu prosuder yang mesti diambil, bukannya dengan menggunakan kuasa menghalang dan menangkap sedang penceramah - penceramah ini berbakti kepada agama dan masyarakat untuk membasmi kejahilan.

"Tambah malang apabila mereka turut mensasarkan penceramah agama yang sememangnya memiliki ijazah dalam bidang agama , pula diiktiraf kesarjanaan mereka oleh universiti yang menganugerahkan sijil pengiktirafan ilmu seperti BA, MA dan Phd,"ulasnya lagi.

Dalam kejadian semalam,Dr Asri telah ditangkap oleh pihak polis dan pegawai JAIS pada jam 12.15 tengah malam.

Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam tadi,sepasukan lapan anggota daripada Jabatan Agama Islam(JAIS) telah tiba ketika Dr Asri baru selesai menyampaikan kuliahnya yang dilakukan secara rutin setiap bulan, di kediaman di Taman Sri Ukay,dekat sini.

Suasana menjadi agak tegang apaila orang ramai dan para jemaah yang mengikuti kuliah,terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis sejumlah kira-kira 40 orang,yang mula mengepung pekarangan rumah tersebut.

Beberapa jemaah yang ditemui Harakahdaily,membayangkan situasi tersebut tidak ubah seperti suasana penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato'Seri Anwar Ibrahim dirumahnya di Damansara pada tahun 1998 lalu.

Sungguhpun begitu,Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin,yang berada di kediaman itu,berjaya meminta orang ramai dan pihak polis yang berada di situ bertenang.

Dalam pada itu,kira-kira 2 jam, para pegawai Jais berunding untuk meminta Dr Asri ke pejabat agama atau balai polis berdekatan.

Pada awalnya,Dr Asri mahu para pegawai itu mengambil keterangan di rumah tersebut, namun setelah berbincang agak lama,Dr Adsri akur untuk ke balai polis berdekatan.

Beliau kelihatan menaiki van JAIS dan diiringi oleh beberapa buah kereta peronda polis.

Dipercayai tangkapan itu,berikutan dakwaan beliau yang dikatakan mengajar tanpa tauliah dan ada kaitannya dengan sidang media sebelum ini serta memo bantahan lantikan beliau selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim)._

harakahdaily.net

Tiada ulasan: