Oleh DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
TERLANJUR saya memperkatakan tentang perjuangan Prof Hamka rahimahulLah pada minggu lepas, saya ingin menyentuh sedikit tentang sepucuk surat beliau yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad.
Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran.
Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam.
Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini dan akan datang.
Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibaran bak kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.
Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras.
Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap menentang Firaun Mesir.
Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman berzaman.
Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.
Berbalik kepada surat Prof Hamka, dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, anti-mazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958.
Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut.
Kata Prof Hamka: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum-tua di dalam menghentam kaum-muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum-muda dengan membuat fitnah…sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan cara.
Asal saja kaum-muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).
Ya! Orang yang kelihatan beragama pun apabila berbeza pendapat akan hilang pertimbangan.
Apatah lagi apabila merasakan kepentingan mereka terjejas. Namun perubahan zaman akan tetap menuntut perubahan pemikiran umat.
Prof Hamka ketika menyentuh perkembangan ini di Indonesia ketika itu menyebut: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (m.s. 48).
Katanya juga: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na’am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).
Tidak Hormat Ulama
Seperti biasa, antara perkara yang selalu dibangkit oleh kelompok yang menjaga tradisi lama ialah kelompok pembaharuan tidak menghormati ulama.
Mereka memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh.
Mereka menganggap mengkritik dalil itu sebagai menghina tokoh. Ini kerana sikap kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan pandangan tokoh agama kesemuanya mesti ditelan.
Hal ini kita dapat lihat kelangsungannya sehingga hari ini.
Di mana akan ada kelompok yang menghalang umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-benar dari imam berkenaan atau andaian semata.
Juga untuk sendiri membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan yang terbaik.
Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap.
Prof Hamka menjawab hal ini dengan katanya: “Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama.
Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama.
Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru. Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum-muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama.
Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian cinta hormati kami kepada beliau-beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau-beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau!...keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama: kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah.
Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi.
Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (kebelakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (kebelakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (m.s. 63).
Berikut Prof Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada.
Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama.
Kadang-kadang dituduh kaum-muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama.
Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain.
kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (m.s. 65).
Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada DYMM Yang DiPertua Agong membantah saya.
Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut: “Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari”.
Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut: ”Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya.
Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini. Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu.
Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.
Kita boleh berbeza pendapat. Sama saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai maklumat.
Namun, memfitnah orang, apatahlag atas nama NGO Islam adalah tidak wajar. Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki.
Firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6)
_mstar online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan