Sahabat Purnama

Khamis, 10 Disember 2009

Kerajaan Kedah tiada halangan projek bina paip minyak ke Songkhla

ALOR SETAR - Kedah bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam projek pembinaan saluran paip minyak yang menghubungkan Kota Perdana di Kedah ke Songkhla, Selatan Thailand.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebahagian tanah di kawasan itu termasuk di Jerlun bagi pembinaan loji minyak.

“Projek ini masih dalam perundingan. Pihak berkenaan ada memohon tapak untuk dibina loji minyak, dan Kerajaan Negeri tiada halangan untuk itu. Kita akan memberi kerjasama yang diperlukan termasuk kebenaran menggunakan tanah,” katanya.

:Azizan mengulas kenyataan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, kelmarin bahawa Thailand perlu mengkaji seterusnya cadangan saluran paip minyak itu berikutan krisis ekonomi semasa, dan buat masa ini, Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial negara berkenaan sedang meneliti butiran projek.

Azizan bagaimanapun enggan mencampuri bahagian pengurusan mahupun aspek lain berhubung projek berkenaan kerana bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Cadangan saluran paip itu dicetuskan oleh SKS Development Sdn Bhd dan telah dibincangkan ketika pertemuan Abhisit dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya Jun lepas. Kita cuma menyokong pelaksanaan projek ini kerana dibangunkan di Kedah,” katanya.

Difahamkan, SKS membuat pelaburan sekitar RM33 bilion bagi loji pembersihan minyak yang akan terletak di kawasan seluas 809 hektar di Kota Perdana.

Sebuah jeti di Kuala Jerlun juga akan dibangunkan bagi membolehkan aktiviti mengepam minyak mentah yang diangkut oleh kapal dari Timur Tengah ke saluran paip sepanjang 50 kilometer, yang akan menyalurkan minyak itu ke loji penapisan di Kota Perdana, sebelum menghantarnya ke Songkhla menerusi saluran paip Trans-Thai._sinarharian

Tiada ulasan: