Sahabat Purnama

Khamis, 10 Disember 2009

Pemuda nekad kejar suspek mati ditikam

MELAKA - Keberanian seorang anak mengejar suspek yang dipercayai cuba memecah masuk kediamannya, membawa padah apabila dia maut ditikam dalam kejadian di Taman Pahlawan, Sungai Udang, di sini semalam.

Mangsa Nasahrudin Ali, 24, seorang mekanik ditemui dalam keadaan parah dengan beberapa kesan tikaman di jalan mati kira-kira 100 meter dari rumahnya oleh bapanya, Ali Daud, 50, kira-kira jam 4.40 pagi.

Ali berkata, sebelum itu dia yang sedang nyenyak tidur terdengar bunyi seperti pasu pecah di hadapan rumah dan bergegas bangun sebelum ternampak anaknya memanjat tembok pagar rumah seperti mengejar seseorang.

“Saya kemudian membuka pagar dan mengekori jejaknya, tetapi dia lebih pantas menyebabkan saya hanya menemui dia sudah terbaring dalam keadaan parah dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan.

“Dia ketika itu masih bernafas dan terbaring berhampiran kawasan semak di jalan mati kawasan taman tempat tinggal kami,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat, Hospital Melaka semalam.

Menurutnya, tanpa membuang masa dia segera mendukung Nasahrudin dan dibawa ke Hospital Tentera Kem Terendak, tetapi pada jam 5 pagi dia diberitahu anaknya meninggal dunia.

Ali percaya anaknya bergelut dengan seseorang yang cuba memecah masuk rumahnya, tetapi agak terkilan dengan tindakan seorang diri Nasahrudin sehingga membawa kepada kematiannya.

“Saya redha dengan pemergian Nasahrudin, satu-satunya anak lelaki saya, kerana cuba menyelamatkan harta benda dan keluarga daripada menjadi mangsa rompakan.

Dia seorang anak yang berani, mungkin mengikut jejak langkah saya seorang bekas tentera,” katanya, sebak.

Ali turut menceritakan anak kedua daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang perangai pelik, tetapi arwah merupakan anak yang amat berani dan melindungi ahli keluarga lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Tengah, Superintendan Wan Ahmad Wan Abbas ketika dihubungi berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kes bunuh dan cubaan memecah masuk rumah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kecederaan bawah rusuk, dada dan bahu adalah punca kematian.

Siasatan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang senjata digunakan. Mayat mangsa dipindahkan dari Hospital Tentera Kem Terendak ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, petang semalam._sinarharian

Tiada ulasan: