Dzulfikar Mashoor |
SHAH ALAM, 2 Dis: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disahkan sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dengan gaji RM1, dengan penuh rendah diri hari ini berkata, dia hanya ada sedikit pengalaman sahaja. "Saya secara peribadi memang tiada pengalaman, kecuali sedikit di (peringkat) Persekutuan dan jadi juru kira-kira di Cheruk Tok Kun (kampung halangannya), tetapi saya akan membantu apa yang perlu," kata Anwar. Anwar berkata demikian ketika memberikan ucapan alu-aluan selepas menandatangani surat perlantikan itu petang tadi. Beliau dipercayai menjawab secara sinis tuduhan dan serangan yang dibuat terjadap beliau selepas perlantikannya diumumkan Khalid sebelum ini. (Gambar: Anwar bercakap dengan Khalid semasa perisytiharan beliau sebagai Penasihat ekonomi Selangor hari ini) Antaranya, Tun Dr Mahathir yang berkata, Anwar akan bangkrapkan Selangor dan itulah nilai Anwar...RM1 sebagaimana yang dinyatakan oleh seorang pemimpin Umno yang lain. Perlantikan tersebut diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis Taklimat Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor. Anwar yang berucap kemudiannya merakamkan penghargaan kepada Khalid, Pakatan Rakyat serta kerajaan Selangor atas kepercayaan yang diberikan kepadanya. "Saya dengan rasa rendah diri terima...Saya terima (pelantikan) setelah dapat restu dengan pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) Ustaz Abdul Hadi Presiden PAS dan Lim Guan Eng Setiausaha Agung DAP," jelasnya. "Kehadiran saya adalah untuk membantu...jadi saya pun kena tandatangan surat jawatan jadi Penasihat Ekonomi Selangor dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri." Beliau turut berikrar untuk memastikan ekonomi Selangor kian kukuh, berdasarkan pengalamannya menjadi Menteri Kewangan era 1990an lalu. Anwar turut memuji ketelitian dan kejujuran Khalid dalam menguruskan ekonomi negara dalam nada yang cukup mesra. "Saya begitu akrab dengan Tan Sri Khalid, saya kenal dia sebagai seorang yang tegas walaupun dia adalah ahli parti saya." jenaka Anwar. "Bila saya kata bagilah RM1 kalau nak sangat saya jadi Penasihat Ekonomi (Selangor), saya ingat beliau akan menolaknya, tapi, beliau kata terima kasih (bersetuju) dan terus lantik saya dengan gaji RM1." Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mengumumkan kakitangan yang akan membantunya di peringkat kerajaan negeri - Rafizi Hafiz, seorang jurutera dan akauntan yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan di Petronas. Jelasnya lagi, dengan pejabat yang sederhana dan seorang staff, beliau akan cuba meneruskan rundingan dengan beberapa syarikan konsesi air swasta agar agenda 'Merakyat Ekonomi Selangor' berjaya direalisasikan secepat mungkin. "Dengan pejabat yang cukup sederhana, seorang atau dua staff mungkin kalau saya perlu, saya akan usahakan agar rundingan dengan syarikat konsesi air boleh diteruskan demi rakyat." jelasnya. _harakahdaily.net |
Sahabat Purnama
Rabu, 2 Disember 2009
Penasihat Ekonomi Selangor: Anwar dapat gaji RM1 dan seorang kakitangan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan