Sahabat Purnama

Jumaat, 16 Oktober 2009

LAUNGAN AZAN LIHAT API MARAK

PARIT - Api, api, api... Itu sahaja laungan yang keluar dari mulut saya sewaktu melihat api yang marak sedang membakar rumah jiran saya.

Ketika menceritakan kejadian berlaku, Abdul Hamid Sulaiman bersama anaknya sedang berbual dalam rumah apabila menyedari ada asap tebal kelihatan di luar rumah.

“Apabila kami melihat keluar, kelihatan api yang sedang marak membakar rumah kosong di sebelah rumah kami dan kemudian api berkenaan membakar pula sebuah rumah lagi yang ada di sebelahnya.

“Sebaik melihat kejadian itu, saya dan anak terus menjerit dan meminta bantuan orang ramai supaya memanggil bomba.

“Pada masa itu badan saya sudah menggeletar dan saya terus mengeluarkan empat biji kereta yang ada di rumah bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Hamid berkata, apabila melihat api sudah marak membakar rumah jirannya, dia segera melaungkan azan dan api berkenaan semakin beransur-ansur kurang berbanding sebelum ini.

“Apa yang saya bimbang ialah api itu akan turut membakar rumah saya kerana jarak rumah kami terlalu dekat.

“Tetapi nasib saya baik kerana bomba segera datang namun dua biji rumah yang terlibat tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Sebelum kejadian, iaitu pada sebelah pagi kelmarin, Abdul Hamid berkata, dia berasa sayu apabila melihat rumah kosong berkenaan yang juga milik saudaranya itu ditinggalkan tanpa berpenghuni.

“Rumah itu sudah lama ditinggalkan kosong dan saya kadang-kala membersihkan kawasan rumah berkenaan.

“Pagi ini (semalam) saya tidak tahu mengapa tiba-tiba saya merasa sayu apabila melihat rumah berkenaan dan tidak menyangka ia akan terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, beliau bersama anggotanya bergegas ke tempat kejadian pada jam 2.42 petang setelah menerima panggilan berkenaan kebakaran itu pada jam 2.39 petang.

“Saya bersama enam anggota anggota bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.

“Kejadian ini melibatkan tiga biji rumah dan kami berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terbakar dan anggaran untuk rumah yang berjaya diselamatkan itu ialah RM105,000,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagi dua biji rumah berkenaan masih lagi dalam siasatan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

sinarharian.com.my

Tiada ulasan: