Perkembangan sunnah dinegara kita dilihat kian menyubur dan berkembang dengan cepat. Ramai pendakwah yang kian bergerak dengan dakwah kepada masyarakat kepada sunnah Nabi S.A.W dalam urusan ibadah. Maka kita ucapkan Alhamdulillah. Demikian juga dengan amalan sunnah yang selalu beriringan dengan perkembangan semasa ataupun sesuatu peristiwa. Bulan ramadhan sudah sampai ke penghujungnya. Sunnah-sunnah di dalam bulan ramadhan telah dibaca oleh penceramah dan dipaparkan dalam banyak media samaada internet, majalah, blog, tv, radio dan sebagainya. Berakhirnya ramadhan, Syawal menjelma. Juga amalan sunnah terutamanya pada hari raya tidak ketinggalan memasuki pasaran media tersebut. Ini adalah satu perkembangan yang sihat dan wajar diteruskan supaya masyarakat sentiasa terdidik untuk mengikuti Rasulullah S.A.W. Alangkah baiknya jika sunnah Rasulullah dapat diikuti secara keseluruhan, bukan secara berjuzuk.
Hari raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Hari kemenangan umat Islam mengharungi satu bulan dengan menahan diri daripada makan dan segala perkara-perkara yang buruk. Kemenangan itu kemenangan. Kemenangan ini adalah kepada mereka yang mengharungi ramadhan dengan kejayaan. Kemenangan itu bukanlah disambut dan dihayati dengan hiburan yang melampau. Sepatutnya 1 bulan ini dapat mendidik kita ataupun sebagai titik tolak perubahan dalam diri kita sendiri dalam hal ketaqwaan. Malangnya, setelah berakhirnya ramadhan, solat subuh dan solat jemaah di masjid kian suram, kitab Al-Quran kian berhabuk , perkara maksiat ‘kembali kepada asal’, seolah-olah kita mengharungi ramadhan adalah sekadar memenuhi tuntutan, bukan mendidik jiwa terhadap perjuangan dan keikhlasan.
Masyarakat kita barangkali sudah sekian lama terdidik atau terikut-ikut dengan angin hari raya di negara ini. Muzik dan filem kita sentiasa akan ada slot atau kisah yang memaparkan kesedihan. Sepatutnya hari raya adalah hari kegembiraan. Begitu juga dengan takbir raya. Alhamdulillah, kita dapati sudah ramai yang menyedari bahawa takbir raya di negara kita yang beralun-alun mengambarkan kesedihan dan bukan melambangkan kekuatan. Semoga perubahan untuk ni beransur-ansur digerakkan.
Sempena syawal ini, marilah kita merenung kembali permulaan puasa kita. Bagaimana amalan dan ibadah kita pada permulaan bulan tersebut. Sungguh, kita terasa kenikmatan yang sudah tidak dapat ditarik kembali dan akan menjumpainya di tahun beirikutnya jika kita belum memejamkan mata selamanya. Tidakkah terasa betapa indahnya berbuka puasa beramai-ramai, berbuka puasa menurut sunnah, bersolat tarawih, membaca Al-Quran, bertahajud dan bermunajat. Mereka yang benar-benar ikhlas terhadap ibadat dan mengharungi perjuangan sebenar di bulan Ramadhan pastinya akan merasa hiba dengan berkahirnya bulan yang penuh berkat ini.
Firmah Allah S.W.T yang bermaksud : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.(QS 2:185)
Sumber: http://almadini.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan