Sahabat Purnama

Khamis, 3 Disember 2009

Pakatan pantau GST kerana anggap ia usaha peras wang rakyat

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Pakatan Rakyat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau akta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana, bagi mereka, GST adalah satu tindakan untuk memeras wang rakyat kerana kerajaan sudah kehabisan wang.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution dari PKR berkata, pasukan petugas pemantau GST (Anti-GST Task Force) itu dianggotai tiga wakil setiap parti.

"Pakatan Rakyat prihatin terhadap cadangan ini dan menubuhkan sebuah pasukan petugas pemantau GST yang dianggotai tiga wakil setiap parti," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen petang semalam.

Selain beliau, dua lagi wakil dati PKR ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Wakil dari PAS ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

DAP pula diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Pasukan petugas ini akan mengkaji akta sedia ada yang berkaitan serta cadangan rang undang-undang berkenaan.

Ia juga bertujuan untuk memformulasikan pelan tindakan untuk jangka pendek dan panjang.

Pasukan ini akan menyedia dan melengkapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu GST selain menjalankan sesi sumbang saran dengan rakyat serta memberi kefahaman secara menyeluruh terhadap kesan GST.

Menurut Dr Dzulkifli, GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ini akan memberikan kesan yang parah kepada rakyat khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Pada pandangan dan telahan kami pengenalan GST ini akan meninggalkan kesan kesan dan impak yang parah khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kami mahu membawa isu ini sebagai isu yang cukup penting kerana persoalan bagaimana ia akan meninggalkan impak kepada rakyat bukan hanya isu politik tetapi sekaligus akan mejejaskan kehidupan rakyat yang sudah terbeban dengan pelbagai cukai dan penarikan semula subsidi," tegasnya.

Tony Pua pula mendakwa kerajaan begitu terdesak mahu melaksanakan GST kerana menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

"Saya rasa sebab utama kenapa kerajaan berasa terdesak untuk melaksanakan GST walaupun penuh kontroversi kerana kerajaan sudah kehabisan wang.

"Mereka memerlukan sumber kewangan yang baru untuk menanggung hutang-hutang sejak beberapa tahun yang lalu," katanya.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata rang undang-undang mengenai GST akan dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama tahun ini makalala bacaan kedua pada Mac tahun hadapan.

GST akan dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua.
Kerajaan menjangka perolehan tambahan sebanyak RM1 bilion setahun selepas tahun pertama pengenalannya. _harakahdaily.net

Tiada ulasan: