KUALA LUMPUR, 3 Dis: Ahli Parlimen PAS akan menghantar satu lagi usul kepada Speaker Dewan Rakyat esok bagi mencadangkan satu jawatankuasa khas di bawah parlimen dibentuk bagi mengkaji terma-terma perjanjian petroleum di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut dibuat ekoran usul pertama membincangkan isu royalti Kelantan yang dihantar kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia Isnin lalu ditolak dalam kamar pagi tadi.
"Sudah sampai masanya satu jawatankuasa khas ditubuhkan oleh parlimen bagi mengkaji terma-terma perjanjian di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
"Bila kita guna seluruh ruang dalam parlimen berbahas tentang isu ini, Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tetap dengan keputusan bahawa kelantan tak ada hak (royalti)," katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Usul tersebut juga akan dibawa ke mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat petang ini untuk dibincangkan.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad menghantar usul di bawah perkara 18(1) mencadangkan Dewan Rakyat merundingkan semula status pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Negeri Kelantan.
Ini berikutan tindakan kerajaan Pusat dan Petronas yang telah melanggari terma-terma kontrak sekaligus mengingkari 'sanctity of contact' untuk membayar 5 peratus wang tunai dari hasil minyak di luar pesisir Kelantan seperti termaktub dalam Fasal 4 dalam Akta 144 Keajuan Petroleum (PDA) 1974.
Bagaimanapun usul tersebut telah ditolak dalam kamar oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.
Dzulkifli yang kesal dengan penolakan itu berkata, isu itu jelas melibatkan kepentingan rakyat, bukannya melibatkan kepentingan mana-mana parti politik.
"Kami akan terus mengangkat isu ini kerana Pakatan Rakyat mahukan isu ini terus dibawa supaya seluruh rakyat mengetahui perkara sebenar yang terkandung dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya yang juga bekas Pengarah Pusat penyelidikan PAS.
Perkara itu juga ujarnya disokong oleh pimpinan Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parimen Gua Musang.
"Tengu Razaleigh sendiri dalam kenyataanya menegaskan bahawa isu ini merupakan bipartisan, tidak melibatkan kepentingan mana-mana parti politik," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Prlimen Pokok Sena pula, Dato' Mahfuz Omar mencadangakan agar kerajaan mengadakan satu wacana ilmiah melibatkan wakil kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri serta dua orang yang masing-masing terlibat dalam membuat draf perjanjian di antara Kelantan dengan Petronas dan mendraf Akta 144 Pembangunan Petroleum 1974 ini.
"Saya mencadangkan agar kerajaan sendiri mengaturkan satu wacana intelektual yang membabitkan wakil kerajaan Pusat dan wakil kerajaan Negeri serta membabitkan dua orang yang terlibat dalam mengasaskan akta ini iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas,"
"Jika kerajaan tidak mampu melaksanakan (wacana) ni, ini bermakna kerajaan tidak mempunyai penghujahan yang kuat," tegasnya._harakahdaily.net
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan