Sahabat Purnama

Khamis, 3 Disember 2009

Ketua Pengarang Harakah jalani rawatan jantung

Azamin Amin   
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman menjalani rawatan jantung pagi ini iaitu prosedur angioplasty untuk memasukkan balon dan tongkat bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat.

Prosedur tersebut dijalankan di HSC Medical Centre di Jalan Ampang dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Lutfi sampai ke pusat perubatan swasta itu kira-kira jam 8.30 pagi dengan ditemani isterinya, Puan Siti Hawa Samsam. Menunggu beliau di pusat perubatan itu adalah rakan-rakannya dari Harakah serta keluarga beliau yang lain termasuk abangnya, Che Samsudin Othman atau Dinsman.
Lutfi membuat pemeriksaan jantungnya di situ semalam selepas disyorkan oleh AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa yang pernah mendapatkan pemeriksaan jantung di situ. Cadangan itu dibuat Husam ketika menziarahi Lutfi di rumahnya dua hari lepas.

Selepas dibuat pemeriksaan, doktor memutuskan agar Lutfi membuat pembukaan segera kepada saluran jantungnya yang terlalu banyak tersumbat itu.

Semalam, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar mengunjungi beliau di pusat perubatan swasta itu.

Prosedur angioplasty itu dijangka akan berjalan selama 4 jam. Ia dibuat tanpa melalui pembedahan tetapi hanya memasukkan alat melalui saluran darah beliau. Di sana, saluran darah ke jantungnya yang tersumbat akan dibuka semula dengan belon dan tongkat (stanting) akan diletakkan.
Lutfi yang menghantar sistem pesanan ringkas kepada Harakahdaily malam semalam, menjelaskan bahawa beliau menghadapi masalah jantung yang serius.

"Doktor pakar kata keadaan jantung saya serius.

"Saluran tersumbat dan doktor mahu jalani pembukaan saloran itu esok. Harap doakan saya," katanya kepada Harakahdaily.

Harakahdaily berharap semua pihak khususnya kepada pembaca Harakah dan Harakahdaily mendoakan kesejahteraan Lutfi dan semoga Allah mempermudahkan pembedahan beliau pagi ini.

_harakahdaily.net

Tiada ulasan: