Sahabat Purnama

Khamis, 3 Disember 2009

Program Angkasawan dipersoal lagi, cadang beli kapal angkasa

Azamin Amin   
KUALA LUMPUR, 3 Dis: Biarpun telah dijawab berulang kali, namun persoalan perbelanjaan dan keberkesanan Program Angkasawan Negara masih dipersoalkan lagi.

Di Dewan Rakyat hari ini Datuk Haji Ismail Haji Abd. Muttalib (BN-Maran) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan berapakah jumlah perbelanjaan Kementerian dalam penglibatan Malaysia dengan Program Angkasa Lepas. Apakah yang telah terjadi dengan Program Angkasawan Negara sehingga hari ini, apakah ianya akan diteruskan atau sebaliknya.

Menterinya Datuk Dr Maximus Ongkili (BN-Kota Marudu) menjelaskan bahawa soalan tersebut telah dijawab beberapa kali malah semalam sahaja tidak kurang lima Ahli Parlimen bangkit menyentuh perkara yang sama.

Katanya peruntukan yang telah dibelanjakan untuk program tersebut adalah sejumlah RM37 juta dan program kesedaran awam masih diteruskan sehingga kini bagi memberi pendidikan kepada kumpulan sasaran.

Kerajaan pada dasarnya akan diteruskan lagi namun tarikh dan peruntukan kewangan untuk tujuan tersebut belum ditentukn lagi tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan pada masa itu.
Kemneterian katanya akan terus menjalankan program galakan dan latihan untuk angkasawan kedua Mejar Dr Faiz Khaleed dan kajian-kajian mikrograviti yang berkaitan.

Dalam soalan tambahan, Ismail mengemukakan cadangan supaya kerajaan membeli sebuah kapal angkasa bagi membuktikan kemampuan Malaysia yang dalam masa yang sama telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas.

Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pula membangkitkan persoalan sama ada Kerajaan hanya bergantung kepada pembelian 'off set' Sukhoi dari Rusia, untuk meneruskan dan membiayai program tersebut.

"Kerajaan telah menolak pemindahan teknologi dari Rusia sebaliknya bersetuju dengan tawaran projek menghantar angkasawan.

"Adakah nak tunggu tambahan beli Sukhoi baru nak teruskan program?

"Dan Apakah kerajaan tidak mempunyai perancangan masa depan dari sudut pembangunan untuk program ini" katanya. _harakahdaily.net

Tiada ulasan: